“Bila suami faham, kita kurang stres” — Datin Shahida kongsi rahsia rumah tangga bahagia

Keserasian pemikiran rahsia ketenangan rumah tangga Datin Shahida dan Datuk Seri Aliff Syukri

Dalam kesibukan mengemudi empayar perniagaan, sering kali wanita terperangkap dilema antara mengejar cita-cita atau menguruskan syurga kecil di rumah.

Namun bagi Datin Nur Shahida Mohd. Rashid, prinsipnya cukup jelas iaitu kerjaya tidak akan sesekali mengatasi kepentingan keluarga.

Bagi suri hati kepada Pengasas  D’Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri ini, keseimbangan antara dunia perniagaan dan peranan sebagai isteri serta ibu hanya mampu dicapai apabila pasangan hidup sekufu daripada segi pemikiran, nilai dan hala tuju hidup. 

Keserasian inilah yang menjadi tunjang kepada ketenangan rumah tangga beliau.

Walaupun rutin hariannya padat dengan sesi siaran langsung (live) perniagaan dari pagi hingga ke malam, beliau tetap memastikan dirinya terlibat secara langsung menguruskan keperluan anak-anak.

Antara faktor utama yang membantu beliau kekal tenang mengimbangi kedua-duanya ialah memiliki pasangan yang sekufu pemikiran.

“Bila kita cari pasangan yang sekufu daripada segi pemikiran, segala perancangan dan urusan pada masa akan datang akan lebih mudah untuk dilakukan.

“Sokongan suami  penting dalam rumah tangga terutama apabila isteri cenderung untuk aktif dalam dunia perniagaan,” katanya.

Tambahnya, beliau bersyukur kerana dikurniakan pasangan yang memahami dan sentiasa peka terhadap keadaannya.

“Alhamdulillah, saya dapat suami yang sangat memahami keadaan saya. Kadang-kadang kalau suami nampak saya penat, dia selalu ajak saya untuk makan di luar.

“Bila suami faham, kita kurang stres. Sokongan keluarga sangat penting untuk memastikan kesihatan mental terus terjaga,” katanya.

Shahida dan Aliff Syukri mendirikan rumah tangga pada 2007
Shahida dan Aliff Syukri Mendirikan rumah tangga pada 2007.

Rutin tanpa henti

Mengakui sering kali tidak mencukupi masa, rutin harian beliau bermula seawal pagi dengan menguruskan anak-anak ke sekolah sebelum memulakan sesi siaran langsung di media sosial.

“Habis siaran langsung, saya ke pejabat, balik kerja terus memasak dan sebelah malam disambung pula dengan sesi siaran langsung sekali lagi,” kata ibu kepada enam anak ini.

“Disebabkan zaman sekarang, banyak sumber pendapatan daripada perniagaan dalam talian. Jadi, saya fikir kalau tidak bersiaran langsung, orang tidak membeli.

“Itu yang kadang-kadang penat nak kena bersiaran langsung dan menguruskan urusan anak-anak dalam masa yang sama,” katanya.

Namun, di sebalik keletihan itu, beliau tidak berjuang sendirian. Sokongan dan kefahaman suami menjadikan setiap kepenatan lebih terkawal dan tidak memakan emosi.

Anak jadi keutamaan

Bagi Shahida, anak-anak adalah sumber kekuatan utama dalam hidupnya. 

Beliau sangat mementingkan penglibatan peribadi dalam setiap aspek kehidupan. Daripada urusan sekolah, kelas mengaji hinggalah ke sesi terapi.

“Prinsip saya, anak didahulukan. Apa pun yang berlaku, anak tidak boleh diketepikan.

“Saya tidak boleh terima kalau ada orang ambil anak lambat dari sekolah atau mereka tidak dihantar ke sekolah tepat pada waktunya.

“Saya sebagai ibu sanggup kalau saya yang sakit. Tetapi kalau melibatkan anak, saya tidak boleh. Anak sakit sikit, saya akan terus bawa ke hospital,” katanya.

Walaupun bekerjaya, beliau tetap memastikan urusan membeli barangan dapur, urusan anak dan rumah tetap berada dalam kawalannya.

“Ada masanya kita perlu bantuan orang lain untuk memudahkan urusan tetapi tanggungjawab hakiki sebagai ibu tetap menjadi keutamaan saya,” katanya.

Satu perkara yang menarik perhatian adalah kesanggupan beliau dan suami untuk mengetepikan acara perniagaan yang besar demi menghadiri majlis di sekolah anak-anak.

Bagi beliau, fasa anak-anak membesar berlaku dengan sangat pantas dan momen tersebut tidak akan berulang.

“Anak-anak ini kecilnya sekejap sahaja. Sebelum mereka membesar dan hidup sendiri, kami mahu nikmati setiap momen bersama mereka,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi rasa bersalah apabila pernah terlepas konsert sekolah anaknya kerana tuntutan kerja di luar negara.

“Ada satu masa, kita memang dah ada perancangan urusan di luar negara tiba-tiba dapat tahu anak ada konsert.

“Saya memang tidak dapat pergi tetapi saya minta ibu gantikan saya untuk pergi supaya dapat beri sokongan pada anak saya.

“Saya tidak kisah kalau saya ada urusan lain sekalipun, saya akan tetap memastikan ahli keluarga yang lain tetap ada supaya anak tidak berasa keseorangan,” katanya.

Sokongan keluarga asas kejayaan

Berkongsi mengenai penerimaan keluarga terhadap peranannya sebagai ibu dan wanita bekerjaya, beliau berkata, sokongan ibu dan ayah turut menjadi antara faktor kejayaannya.

“Keluarga saya pun sebenarnya ada latar belakang perniagaan juga. Mak saya meniaga air kelapa dan kuih muih. Ayah pula seorang pemandu teksi.

“Kalau mak saya meniaga di pasar, ayah akan sentiasa telefon saya untuk tanya hasil jualan dan keadaan di pasar. Mak pun akan bertanya hal yang sama pada ayah.

“Jadi, dari kecil memang dah terbiasa dengan dunia perniagaan. Sampai sekarang, alhamdulillah tiada masalah apa-apa masalah daripada segi penerimaan keluarga. Kami sentiasa menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Sekufu bukan sekadar serasi tetapi menenangkan

Bagi figura berusia 40 tahun ini, gelaran wanita bekerjaya bukanlah tiket untuk melepaskan tanggungjawab di rumah. 

Sebaliknya, ia adalah amanah yang dipikul bersama pasangan yang memahami.

Dalam dunia yang serba pantas, sekufu pemikiran antara suami dan isteri menjadi kunci kebahagiaan.

Ia bukan sekadar untuk mengejar kejayaan, tetapi untuk membina ketenangan, saling memahami dan membesarkan anak-anak dalam suasana penuh kasih sayang.-Muslimah

 

@muslimah.com.my Betul ke pasangan sekufu sangat penting dalam kehidupan? #Trending #Muslimah #Fyp ♬ original sound – Muslimah.com.my