Wajahnya manis, tutur katanya lembut dan penuh tertib. Namun di sebalik kelembutan itu, tersembunyi keberanian luar biasa yang jarang dimiliki.
Bagi Faizah Joffrey, 30, menyarung seragam celoreng bomba bukan sekadar mencari rezeki.
Ia membuktikan Muslimah juga mampu berdiri teguh di barisan hadapan, berdepan situasi kecemasan paling mencabar tanpa gentar.
Sudah lima tahun berkhidmat sebagai anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil, Faizah menjadi ahli keluarga pertama yang menceburi bidang beruniform.
Keputusannya itu sekali gus memecah tradisi keluarga yang kebanyakannya bergelar pendidik.
Anak jati Sarawak itu mengakui pada awalnya keluarga terkejut dan skeptikal dengan pilihannya.
“Keluarga saya beranggapan anggota wanita hanya akan bertugas di pejabat mengikut waktu pejabat (9 pagi ke 5 petang). Namun sebenarnya tidak. Jika kita memilih operasi, kita akan terus di lapangan mencari pengalaman,” ujarnya yang kini aktif dalam unit EMRS (ambulans).
Kekuatan emosi
Bekerja dalam pasukan yang didominasi lelaki bukanlah sesuatu yang mudah.
Ia menuntut kekuatan mental dan fizikal yang luar biasa. Menurut Faizah, fasa rekrut merupakan tempoh paling mencabar apabila beliau perlu menyesuaikan diri dengan latihan fizikal berat serta disiplin ketat, termasuk memastikan BMI sentiasa berada pada tahap ideal.
Walaupun mengakui anggota lelaki mempunyai kelebihan daripada segi kekuatan fizikal seperti mengangkat hos yang berat, Faizah percaya wanita memiliki kelebihan tersendiri.
“Dalam kes cubaan bunuh diri atau situasi yang melibatkan mangsa trauma, wanita lebih mudah memujuk emosi mangsa.
“Lelaki mungkin lebih fokus kepada teknikal menyelamat tetapi kita sebagai wanita cuba mendalami perasaan dan mendengar masalah mangsa tanpa kekerasan,” jelasnya.
Di situlah letaknya kekuatan anggota bomba Muslimah yang penuh empati dan kecerdasan emosi yang menjadi pelengkap kepada kecekapan teknikal pasukan.
Kerja berpasukan

Dalam dunia yang penuh risiko, sokongan rakan sepasukan menjadi tunjang utama.
Faizah menyifatkan semangat brotherhood dalam pasukannya sebagai kekuatan yang membuatkan beliau terus bersemangat.
“Brotherhood saya dengan pasukan amat kuat. Kami saling menjaga antara satu sama lain.
“Keakraban ini adalah tunjang utama yang membuatkan saya rasa selamat dan bersemangat untuk turun ke lapangan setiap hari, walaupun sedar risiko yang bakal dihadapi,” katanya kepada Muslimah.
Rakan setugas lelaki, katanya, sentiasa memahami had kemampuannya sebagai wanita namun tetap memberi ruang dan peluang untuk beliau berada di barisan hadapan.
Pengalaman yang mengubah perspektif
Sepanjang bertugas, pelbagai kes dihadapi. Antara yang paling memberi kesan adalah ketika menguruskan penemuan mayat yang telah membusuk berhari-hari.
“Bau itu memang sukar digambarkan. Walaupun kita tidak menyentuh secara langsung, baunya melekat pada celoreng sehingga keesokan pagi.
“Namun, saya jadikan itu pengajaran. Sebagai manusia, pengakhiran kita semua adalah sama. Ia memberi nilai moral yang besar buat diri saya,” kata Faizah yang mengamalkan petua senior untuk mendekati mangsa bermula dari bahagian kaki.
Beliau juga tidak terlepas daripada rasa sayu apabila berdepan kes perubatan melibatkan warga emas yang terbiar sebatang kara tanpa penjagaan anak-anak.
Setiap kali berdepan situasi sebegitu, hatinya terkenang ibu bapa di kampung.
Hijab bukan penghalang

Menyentuh soal penampilan sebagai Muslimah, Faizah berkata, berhijab bukanlah penghalang untuk bertugas secara aktif.
Jabatan telah menetapkan pemakaian tudung jenis sarung terus yang praktikal dan memudahkan pergerakan pantas ketika operasi.
Mengulas isu batas pergaulan dan sentuhan pula, beliau tetap berpegang pada profesionalisme.
“Kami adalah penyelamat. Mangsa perlu faham, kami memegang itu bersebab dan atas dasar kecemasan.
“Malah, pemakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) yang lengkap termasuk sarung tangan dan helmet turut membantu menjaga batas,” katanya.
Ditanya mengenai figura yang menjadi sumber inspirasi, Faizah tanpa ragu menyebut nama Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
“Dahulu saya tertanya-tanya siapa wanita di atas wang kertas Ringgit Malaysia itu. Apabila tahu beliau adalah gabenor wanita pertama, saya rasa kagum.
“Beliau membuktikan wanita boleh menjadi pemimpin yang disegani dan itulah yang saya aspirasikan dalam kerjaya saya sekarang,” katanya mengakhiri temubual.
Faizah membuktikan kelembutan bukanlah tanda kelemahan.
Dalam seragam celoreng dan di bawah lapisan hijab, seorang Muslimah mampu memadam api, menyelamat nyawa dan pada masa sama menyentuh hati insan yang sedang diuji.-Muslimah