Dugaan kehilangan cahaya mata satu ujian yang amat berat untuk ditelan oleh mana-mana wanita.
Namun, lebih memeritkan apabila kehilangan itu berlaku akibat kecuaian diagnosis awal yang hampir meragut emosi dan kesihatan seorang ibu.
Tular di platform Threads, seorang pengguna yang dikenali sebagai Nurul Amira berkongsi detik hitam apabila dia mengalami keguguran pada Ogos 2024 yang lalu.
Kisah beliau bukan sahaja mengundang simpati malah mencetuskan kebimbangan mengenai kepentingan diagnosis yang tepat bagi gejala berkaitan wanita.
Segalanya bermula apabila Nurul Amira mendapati air kencingnya berubah warna menjadi kemerahan seolah-olah bercampur darah sejurus bangun tidur.
Berasa bimbang, dia segera merujuk ke sebuah klinik swasta untuk pemeriksaan.
Namun, selepas pemeriksaan, doktor di klinik itu berkata, beliau kemungkinan besar mengalami masalah batu karang selepas melakukan imbasan perut.
Walaupun Amira sudah memberitahu sedang dalam tempoh lewat haid, doktor berkenaan tetap tidak melakukan ujian kehamilan (Urine Pregnancy Test – UPT) dan sekadar membekalkan ubat mencuci batu karang dan kencing kotor.
Rupanya janin keluar sendiri
Selepas seminggu menanggung kesakitan dan pendarahan yang tidak berhenti, gerak hati Nurul Amira kuat menyatakan ada sesuatu yang tidak kena.
Dia kemudian membuat keputusan untuk melakukan ujian UPT sendiri di rumah dan hasilnya menunjukkan positif hamil.
Pemeriksaan lanjut di hospital pakar kemudiannya mengesahkan dia sebenarnya sedang hamil tiga minggu namun janin sudah tidak dapat diselamatkan (keguguran).
“Rupanya janin itu keluar sendiri. Saya tidak mampu berkata-kata. Sedih sangat sebab itu anak yang ditunggu-tunggu selepas hampir setahun,” luahnya dalam hantaran tersebut.
Hikmah di sebalik ujian
Meskipun trauma dengan kejadian itu, Nurul Amira tetap bersyukur kerana Allah SWT memberikan ganti yang lebih baik tidak lama kemudian.
Dia disahkan hamil semula pada April 2025 dan baru sahaja selamat melahirkan seorang cahaya mata pada 6 Januari yang lalu.
Dia turut menitipkan pesanan agar para wanita lebih peka dengan perubahan badan sendiri dan jangan ragu untuk mendapatkan pandangan kedua jika berasa sangsi dengan sesuatu diagnosis doktor.-Muslimah