Perkahwinan sepatutnya dibina atas kerelaan dan persefahaman, namun masih wujud situasi apabila anak berdepan tekanan untuk menerima pilihan pasangan daripada keluarga.
Dalam keadaan ini, perlu atau tidak sebagai anak untuk menurut kehendak ibu bapa atau mempunyai hak untuk membuat keputusan sendiri dalam soal jodoh.
Ada yang beranggapan menolak pilihan keluarga dianggap derhaka, namun dalam Islam, soal perkahwinan tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan kehidupan jangka panjang serta kebahagiaan dua insan.
Berdasarkan penjelasan, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, anak-anak tidak boleh dipaksa berkahwin dengan pasangan yang dipilih oleh ibu bapa.
“Dalam bab perkahwinan, ibu bapa tidak boleh memaksa anak berkahwin dengan pasangan yang dipilih oleh ibu bapa. Maknanya, pasangan adalah pilihan individu itu sendiri.
“Namun begitu, jika ibu bapa mencadangkan si A sedangkan hati kita cenderung kepada si B, dan kedua-duanya sama baik daripada segi akhlak serta agama, maka eloklah didahulukan pilihan ibu bapa (sebagai tanda menghormati jasa dan pengorbanan mereka). Tanpa ibu bapa, tiadalah kita di dunia ini.
“Malah, kita juga tentu berharap anak-anak kita kelak menghormati dan mendengar nasihat kita,” katanya katanya menerusi sebuah perkongsian video di Tiktok.
Tambahnya, sekiranya pilihan kita sebenarnya baik, tetapi ibu bapa kurang bersetuju hanya kerana termakan fitnah atau salah faham, maka usahakan untuk memperbetulkan keadaan.
Pujuk dan nasihati mereka dengan cara yang lembut, penuh hikmah serta hormat. Tunjukkan kesungguhan dan komitmen pasangan pilihan kita mampu membahagiakan serta membimbing kita ke arah kebaikan.
Dalam Islam, persetujuan wanita merupakan syarat penting dalam perkahwinan. Rasulullah SAW sendiri menegaskan seorang wanita tidak boleh dinikahkan tanpa izinnya, sama ada gadis atau janda.
Malah, terdapat kisah pada zaman Rasulullah SAW apabila seorang wanita dipaksa berkahwin oleh bapanya.
Setelah mengadu, baginda memberikan pilihan kepada wanita tersebut untuk meneruskan atau membatalkan perkahwinan itu. Dalam kes lain, ada juga perkahwinan yang dibatalkan kerana wanita tersebut tidak merelakannya.
“Ini menunjukkan Islam memberi hak sepenuhnya kepada wanita untuk menerima atau menolak perkahwinan dan akad yang dilakukan tanpa kerelaan boleh terbatal sekiranya tidak dipersetujui,” katanya menerusi sebuah video lain.
Perkahwinan pula bukan sekadar memenuhi kehendak keluarga, tetapi satu komitmen jangka panjang yang diharapkan berkekalan hingga akhir hayat.
Tanpa persetujuan kedua-dua pihak, hubungan tersebut berpotensi menjalani kehidupan rumah tangga yang tidak bahagia.
Begitupun, ibu bapa masih mempunyai hak untuk menghalang sekiranya pasangan pilihan anak mempunyai masalah daripada sudut agama, akhlak atau latar belakang yang meragukan.
Dalam keadaan ini, larangan tersebut adalah demi melindungi anak.-Muslimah
@netfreak96_ Tak Boleh Memaksa Untuk Berkhawin 🥺 #foryou #foryoupage #ustazazharidrus #khawin #jodoh ♬ original sound – Nazrin Al Rashid – nana