Tidak semua perkara dalam rumah tangga boleh dibahagi sama rata, meskipun konsep ‘50-50’ sering dianggap sebagai simbol kerjasama.
Dalam Islam, keseimbangan rumah tangga tidak semestinya bermaksud semua perkara dibahagi sama rata, sebaliknya berpaksikan kepada kefahaman hak dan tanggungjawab masing-masing.
Menurut perkongsian Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), terdapat perkara asas yang tidak boleh dijadikan konsep 50-50, antaranya nafkah, hak dan kewajipan asas serta kepimpinan dalam rumah tangga.
Suami bertanggungjawab menyediakan nafkah kepada keluarga mengikut kemampuan. Tanggungjawab ini tidak boleh dipindahkan atau dipaksa untuk dibahagi sama rata dengan isteri.
Suami juga berperanan sebagai ketua keluarga yang memimpin dan melindungi ahli keluarga.
Daripada sudut kewajipan pula, isteri dituntut untuk taat kepada suami dalam perkara makruf, termasuk menjaga aurat dan memelihara keharmonian rumah tangga.
Perkara-perkara ini tidak boleh ditukar menjadi konsep perkongsian sama rata kerana ia telah ditetapkan dalam syariat.
Begitupun, Islam tidak menolak konsep kerjasama dalam aspek tertentu seperti kerja rumah kerana pasangan digalakkan untuk saling membantu.
Suami dan isteri boleh bersama-sama menguruskan rumah tangga seperti memasak, mengemas atau menjaga anak. Bahkan, Rasulullah SAW sendiri membantu keluarganya di rumah.
Selain itu, pasangan disaran untuk berbincang dan bermusyawarah dalam membuat keputusan keluarga seperti kewangan, pendidikan anak atau perancangan masa depan.
Pendekatan ini bukan sahaja menguatkan hubungan, malah memastikan setiap keputusan dibuat secara rasional dan adil.
Kasih sayang dan perhatian juga perlu diberikan secara bersama kerana rumah tangga yang harmoni tidak terbina atas pengorbanan sebelah pihak semata-mata, tetapi melalui sokongan dan empati kedua-dua pasangan.
Dalam situasi tertentu, seperti isteri bekerja dan suami menguruskan rumah tangga, ia dibenarkan sekiranya dipersetujui bersama.
Namun, kedudukan suami sebagai ketua keluarga tetap kekal dan kewajipan memberi nafkah masih terletak di bahunya mengikut kemampuan.
Pasangan perlu mengutamakan komunikasi yang baik. Perbincangan harus dilakukan secara rasional, bukan didorong emosi semata-mata.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)
Kesimpulannya, konsep 50-50 dalam rumah tangga bukanlah tentang membahagi semua perkara secara sama rata, tetapi tentang keseimbangan peranan, kerjasama dan saling melengkapi demi mencapai kebahagiaan bersama.-Muslimah