Tekanan emosi berpanjangan boleh memberi kesan kepada kesihatan keseluruhan dan dikaitkan dengan peningkatan risiko pelbagai masalah kesihatan, termasuk penyakit autoimun.
Perkara ini semakin mendapat perhatian apabila majoriti pesakit autoimun terdiri daripada wanita sekaligus mencetuskan perbincangan dalam bidang kesihatan mengenai faktor yang mungkin menyumbang kepada keadaan tersebut.
Menurut Global Autoimmune Institute, kira-kira 80 peratus individu yang didiagnosis dengan penyakit autoimun adalah wanita, menunjukkan jurang jantina yang ketara dalam isu kesihatan ini.
Penyakit autoimun berlaku apabila sistem imun yang sepatutnya melindungi tubuh menyerang tisu badan sendiri, lalu mencetuskan pelbagai gangguan kesihatan kronik seperti lupus, rheumatoid arthritis dan multiple sclerosis.
Pakar perubatan dan penulis, Dr. Gabor Maté, menerusi bukunya When the Body Says No, membincangkan kesan tekanan kronik, trauma serta tabiat menekan emosi kepada kesihatan tubuh dalam jangka masa panjang.
Beliau turut berkongsi dalam The Mel Robbins Podcast di mana tekanan kronik dan trauma boleh mempengaruhi keseimbangan tubuh, termasuk sistem imun walaupun ia bukan satu-satunya faktor yang terlibat.
“Apabila seseorang berada dalam keadaan stres berpanjangan, tubuh cenderung berada dalam keadaan ‘fight or flight’ untuk tempoh yang lama dan ini boleh memberi kesan kepada sistem fisiologi termasuk imun,” katanya.
Beberapa mekanisme turut dikaitkan sebagai faktor yang berpotensi mempengaruhi sistem imun apabila individu mengalami stres berpanjangan.
Antara yang sering dibincangkan termasuk kecenderungan memendam emosi atau mengabaikan keperluan diri sendiri,yang boleh meningkatkan tekanan dalaman dan memberi kesan kepada kesejahteraan tubuh.
Selain itu, stres kronik juga sering berlaku bersama faktor lain seperti gangguan tidur atau kurang tidur yang melemahkan fungsi sistem imun sekiranya berlarutan.
Keadaan ini tidak bermaksud stres secara langsung menyebabkan penyakit autoimun, namun ia dilihat sebagai antara faktor yang boleh mempengaruhi perkembangan atau keterukan simptom dalam individu yang berisiko.
Peningkatan kes autoimun sejak beberapa dekad lalu turut menunjukkan faktor persekitaran dan gaya hidup moden turut memainkan peranan, selain faktor genetik.
Sesetengah kajian mendapati antibodi berkaitan penyakit autoimun boleh wujud dalam badan bertahun-tahun sebelum diagnosis dibuat sekaligus menjadikan pengesanan awal lebih mencabar.
“Ramai individu tidak menyedari simptom awal autoimun boleh mengambil masa yang lama sebelum didiagnosis dan ini menjadikan faktor gaya hidup seperti stres lebih penting untuk diberi perhatian,” katanya.
Langkah tangani stres
Justeru, pengurusan stres secara menyeluruh dilihat penting sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan.
Antara langkah yang disarankan termasuk gaya hidup aktif, pemakanan seimbang yang bersifat anti-radang, tidur mencukupi serta memastikan tahap vitamin D mencukupi.
Selain itu, sokongan emosi yang baik dan keupayaan untuk menetapkan batas diri ‘boundaries’ tanpa rasa bersalah juga penting bagi membantu keseimbangan kesihatan mental dan fizikal.
Kesimpulannya, kesihatan wanita tidak hanya bergantung kepada faktor fizikal semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh gabungan faktor biologi, gaya hidup dan kesejahteraan emosi secara menyeluruh.