Suami baran selepas setahun berkahwin

Ujian rumah tangga datang dalam pelbagai bentuk untuk menguji pasangan suami isteri. 

Ada yang diuji dengan harta, ada yang diuji dengan zuriat dan ada yang diuji dengan pasangan yang sepatutnya menjadi pelindung tetapi menjadi punca trauma.

Baru-baru ini, tular satu perkongsian menyayat hati di aplikasi Threads oleh seorang ibu muda dikenali sebagai Siti yang buntu berdepan suami panas baran.

Menurut Siti, suaminya seorang yang sangat lembut dan penyabar. Namun, segalanya berubah selepas setahun berkahwin apabila suaminya disahkan menghidap kanser. 

Di saat dia sedang berusaha memberikan sokongan yang sepatutnya, si suami mula menunjukkan belang apabila mula memecahkan barang-barang di rumah dan menghamburkan kata-kata kesat.

“Hampir setiap hari anak-anak terpaksa dengar bapa mereka mengamuk macam orang hilang akal. 

“Saya kesian tengok anak-anak membesar dalam persekitaran toksik begini,” tulisnya.

Kemuncak konflik berlaku ketika dia hamil anak pertama. Hanya kerana salah faham kecil dengan mentua, suaminya tergamak menolaknya hingga terjatuh.

Lebih memilukan, dia ditinggalkan sendirian sepanjang tempoh kehamilan dan berpantang tanpa nafkah mahupun kehadiran suami di sisi.

“Bayangkan saya mengandung tanpa suami di sisi. Saya sakit, saya sedih, dia tidak ada. Saya faham dia sakit (kanser), sebab itu saya cuba maafkan dia walaupun dalam depresi,” kongsinya.

Tambahnya, dilema yang dihadapi cukup berat apabila suaminya juga kini merupakan seorang pejuang kanser yang sedang menjalani rawatan kemoterapi. Atas dasar ihsan dan rasa simpati, dia cuba bertahan dan memaafkan segala perlakuan kasar suaminya.

“Saya sudah tawar hati tetapi rasa bersalah hendak tinggalkan dia sebab sedang sakit,” luahnya.

Selain itu, anak sulung mereka yang juga kanak-kanak autisme kini mula menunjukkan tanda-tanda trauma akibat sering melihat bapanya mengamuk seperti hilang akal.

Meskipun dilayan seperti hamba dan dihina dengan pelbagai kata nista, Siti mengakui sekarang dia masih berbelah bahagi untuk meninggalkan perkahwinannya.