Di era maklumat di hujung jari, batas antara kerja dan kehidupan peribadi semakin kabur.
Bagi Muslimah moden, tanggungjawab tidak berhenti di pejabat sebaliknya terus bersambung ke telefon dan urusan rumah.
Tanpa disedari, rutin ini menyebabkan keletihan melampau (burnout) yang menjejaskan kesihatan mental.
Tabiat ‘always available‘ dan kesannya
Budaya sentiasa tersedia (always available) seperti membalas mesej kerja pada waktu malam atau memantau trend media sosial tanpa henti secara perlahan-lahan menghakis ketenangan jiwa.
Menurut laporan World Health Organization (WHO), tekanan di tempat kerja dan ketidakseimbangan hidup punca utama peningkatan gangguan keresahan dalam kalangan pekerja profesional.
Kembali kepada konsep ‘Afiyah’
Dalam Islam, kesihatan mental sering dikaitkan dengan ketenangan hati (tumaninah). Kesihatan yang menyeluruh disebut sebagai ‘Afiyah’ yang merangkumi perlindungan daripada penyakit fizikal mahupun gangguan mental.
Amalan kerohanian yang konsisten seperti solat yang khusyuk dan tadabbur al-Quran bertindak sebagai mekanisma daya tindak (coping mechanism) yang sangat efektif terhadap tekanan emosi.
Sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28 yang bermaksud: “Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang.”
Meletakkan sempadan
Kesihatan mental yang baik bermula dengan keberanian untuk berkata ‘tidak’, termasuklah menetapkan waktu ‘bebas peranti’ selepas pukul 9 malam untuk fokus kepada diri sendiri dan keluarga.
Selain itu, boleh wujudkan satu sudut kecil di rumah yang bebas daripada gangguan teknologi untuk tujuan berehat, membaca atau sekadar bersantai di samping kembali kepada aktiviti fizikal seperti bercucuk tanam, memasak atau senaman ringan yang mampu meningkatkan hormon dopamin secara semula jadi.
Mencari sokongan
Langkah terbesar dalam menjaga kesihatan mental adalah mengakui apabila kita memerlukan bantuan. Stigma berjumpa pakar terapi adalah tanda ‘lemah’ perlu dikikis. Sebaliknya, tindakan itu satu tindakan berani demi kelestarian kualiti hidup jangka panjang.-Muslimah