Kenapa sukar keluar daripada hubungan toksik?

Ramai pasangan sebenarnya sedar mereka berada dalam hubungan yang memudaratkan emosi, namun tetap memilih bertahan.

Pengasas Motivational and Counseling Consultancy, Haji Hushim Haji Salleh berkata, kebanyakan pasangan yang berdepan situasi ini gagal berkomunikasi secara jujur dan bersemuka.

“Berdasarkan pengalaman, saya menerima satu hingga dua kes berkaitan isu ini setiap hari di klinik. Ini menunjukkan masalah ini semakin serius,” katanya kepada Muslimah.

Masalah rumah tangga sering tidak dibincangkan secara terus antara suami isteri, sebaliknya diluahkan kepada pihak luar seperti rakan, ahli keluarga atau di media sosial yang akhirnya memburukkan lagi keadaan.

Ini kerana, Inti kepada hubungan toksik ialah kegagalan komunikasi sihat antara pasangan sehingga menimbulkan salah faham, konflik dan ketidakpercayaan.

Terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan individu kekal dalam perkahwinan toksik walaupun tidak bahagia.

Faktor paling dominan, khususnya dalam kalangan wanita ialah demi anak-anak. Wanita memilih bertahan kerana bimbang kesan perceraian terhadap emosi dan masa depan anak.

Selain itu, faktor kewangan, terutama apabila salah seorang pasangan mempunyai kedudukan atau pendapatan yang tinggi. 

“Keadaan ini menyebabkan pasangan hidup dalam kepura-puraan, kelihatan bahagia di depan orang luar walhal menderita secara dalaman,” katanya.

Ada juga yang bertahan demi menjaga hati keluarga seperti ibu bapa dan mentua, yang akhirna menyebabkan individu terus bertahan dalam hubungan toksik.

Kesan terhadap pasangan dan anak-anak

Hubungan toksik tidak semestinya melibatkan keganasan fizikal, namun penderaan emosi sering berlaku, khususnya terhadap wanita.

Bagi anak-anak, kesannya sangat mendalam dalam bentuk trauma zaman kanak-kanak (childhood trauma). 

“Ramai yang membesar dalam persekitaran sebegini menjadi takut untuk berkahwin apabila dewasa,” katanya.

Dalam perspektif Islam, istilah ‘toksik’ turut dikaitkan dengan perbuatan mengumpat dan mengadu domba yang merupakan dosa serta boleh merosakkan keharmonian rumah tangga.

Antara tanda awal hubungan toksik ialah hilang kepercayaan dan kejujuran antara pasangan. 

Contohnya, pasangan menyembunyikan aktiviti harian atau mempunyai sisi gelap yang tidak diketahui oleh pasangan.

“Apabila timbul rasa curiga, pasangan tidak berani berterus terang kerana takut berlaku konflik, lalu memilih meluahkan kepada rakan. 

“Tindakan ini sebenarnya menjadi pencetus kepada hubungan toksik,” katanya.

Selain itu, sikap terlalu banyak menghabiskan masa dengan rakan, membandingkan pasangan dengan orang lain serta pertikaian berkaitan kewangan juga boleh mencetuskan konflik jika tidak ditangani daripada  awal.

Langkah mengatasi

Langkah pertama ialah berbincang secara terbuka antara suami isteri tanpa melibatkan pihak luar.

Jika tidak berjaya disebabkan ego atau sikap membela diri sendiri, pasangan disarankan mendapatkan bantuan kaunselor perkahwinan profesional.

“Semasa sesi kaunseling, pasangan akan berjumpa secara individu terlebih dahulu dengan kaunselor sebelum perjumpaan bersama bagi mengenal pasti isu sebenar, termasuk konflik lama yang terpendam.

Beliau turut menasihatkan agar pasangan tidak membuka aib rumah tangga di media sosial dan menyelesaikan masalah secara tertutup.

Wanita perlu bercakap secara jujur dan terus kepada suami dengan nada lembut dan penuh hormat apabila menyatakan kebimbangan terhadap hubungan yang semakin renggang.

Tambahnya, hubungan yang harmoni memerlukan usaha berterusan. Sikap merendahkan pasangan atau tidak lagi menunjukkan kasih sayang perlu dielakkan kerana boleh merosakkan hubungan secara perlahan-perlahan.-Muslimah