Ini sebab pembahagian faraid tidak membezakan isteri lama dan baharu

Baru beberapa hari bergelar isteri, namun apabila suami meninggal dunia, bahagiannya dalam faraid tetap setara dengan isteri yang telah puluhan tahun bersama.

Situasi ini mungkin akan menimbulkan persoalan, terutama apabila melibatkan perkahwinan kedua yang berlaku dalam tempoh singkat sebelum kematian suami.

Ramai melihat situasi tersebut tidak adil, lebih-lebih lagi apabila isteri pertama lebih banyak berkorban dan melalui pelbagai fasa kehidupan bersama pasangan.

Perunding pewarisan harta Islam, Mohamad Izat Izham Mohd. Zawawi berkata, wanita yang bermadu akan menerima bahagian faraid yang sama selagi perkahwinan itu sah di sisi hukum.

“Selagi berstatus isteri yang sah ketika suami meninggal dunia, mereka tetap layak menerima bahagian masing-masing tanpa sebarang perbezaan,” katanya kepada Muslimah.

Dalam hukum faraid, tempoh perkahwinan bukan faktor yang diambil kira.

Sebaliknya, pembahagian harta pusaka ditentukan berdasarkan status sebagai isteri yang sah pada waktu kematian suami.

Sekiranya suami meninggalkan anak, bahagian semua isteri adalah satu perlapan (1/8) daripada keseluruhan harta pusaka.

Bahagian tersebut kemudian dibahagikan sama rata mengikut jumlah isteri, tanpa membezakan tempoh perkahwinan.

Jika suami tidak mempunyai anak pula, bahagian isteri adalah satu per empat (1/4) dan turut dibahagikan secara sama rata.

Ini bermakna, isteri yang baru dikahwini tetap menerima bahagian yang sama seperti isteri yang telah lama bersama, walaupun tempoh perkahwinan sangat berbeza.

Walaupun ketetapan itu kadangkala sukar diterima, ia tetap hukum yang perlu dipatuhi.

Justeru, beliau menasihatkan agar pasangan suami isteri membuat perancangan harta lebih awal bagi mengelakkan isu berbangkit selepas kematian.

“Antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah hibah, iaitu pemberian harta semasa hidup kepada individu tertentu mengikut kehendak pemilik.

“Sebagai contoh, suami boleh menghibahkan aset tertentu kepada isteri yang ingin diberikan keutamaan sebagai tanda penghargaan sepanjang perkahwinan,” katanya.

Tambahnya, tanpa perancangan yang jelas, pembahagian harta akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan konflik dalam kalangan waris.-Muslimah