Hukum tahan wuduk seharian demi solekan

Bagi ramai wanita, penampilan diri menjadi antara perkara penting dalam rutin harian.

Solekan dilihat sebagai cara mudah untuk menambah keyakinan, menyerlahkan wajah, dan memastikan penampilan segar ketika menghadiri kerja, urusan harian, atau bersosial.

Tidak hairanlah, ramai yang sanggup memastikan solekan kekal rapi dari pagi hingga ke petang agar penampilan sentiasa terjaga.

Namun, dalam realiti kehidupan harian, timbul satu perbincangan dalam kalangan wanita di aplikasi Threads apabila ada yang berkongsi amalan ‘menahan wuduk’ dari waktu Zohor hingga Maghrib demi menjaga solekan.

Isu ini menyentuh kesempurnaan ibadah dalam Islam.

Keinginan kekal cantik seharian

Menguruskan penampilan sepanjang hari bukanlah mudah.

Aktiviti harian seperti bekerja, bergerak ke sana sini atau mengurus rumah boleh menyebabkan wuduk terbatal tanpa disedari.

Menurut penulis buku asas fardhu ain wanita, Ustazah Siti Aminah Sulieman, wuduk boleh terbatal disebabkan perkara biasa seperti keluar cairan faraj termasuk istihadhah ringan, membuang air, kentut, tidur nyenyak atau hilang kesedaran.

“Cubaan menahan wuduk sepanjang hari demi solekan bukan sahaja sukar, malah boleh menyebabkan seseorang menahan keperluan semula jadi badan,” katanya kepada Muslimah.

Keadaan ini bukan sahaja menyusahkan diri, bahkan boleh mengganggu fokus dalam beribadah.

“Dalam hukum fiqh, menahan diri tanpa keperluan yang penting juga dianggap makruh kerana Islam tidak menganjurkan kesukaran yang tidak perlu,” katanya.

Salah faham maksud ‘menjaga wuduk’

Ramai Muslimah tersilap sangka menjaga wuduk bermaksud memastikan ia tidak batal langsung.

Hakikatnya, maksud sebenar adalah memperbaharui wuduk setiap kali ia terbatal.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Tidaklah seseorang itu memelihara wuduk melainkan dia seorang mukmin.” (Riwayat Ahmad)

Hadis ini menunjukkan menjaga wuduk bukan bermaksud menahannya, tetapi sentiasa memperbaharuinya apabila diperlukan.

Ini sekali gus menegaskan keutamaan dalam Islam adalah kesucian diri dan kesahihan ibadah, bukan mengekalkan solekan semata-mata.

Solekan bukan keutamaan dalam ibadah

Dalam Islam, solekan termasuk dalam kategori tahsiniyyat iaitu pelengkap kecantikan, bukan keperluan asas ibadah.

Nabi SAW menegaskan solat tidak diterima tanpa wuduk yang sah, ini bermakna setiap kali berlaku hadas, wuduk perlu diperbaharui sebelum menunaikan solat.

“Meletakkan solekan sebagai alasan untuk menangguhkan wuduk menunjukkan keutamaan yang kurang tepat, walaupun niat untuk tampil kemas itu tidak salah,” katanya.

Sebaliknya, wuduk yang diperbaharui bukan sahaja memastikan ibadah sah, malah memberi manfaat daripada sudut rohani dan fizikal.

Dalam hadis riwayat Muslim, dijelaskan bahawa dosa-dosa kecil akan gugur bersama titisan air wuduk.

Daripasa sudut fizikal pula, wuduk membantu membersihkan peluh dan kotoran, menjadikan wajah lebih segar secara semula jadi.

“Hakikatnya, kecantikan sebenar lahir daripada ibadah itu sendiri,” katanya.

Bagi wanita yang ingin menyeimbangkan penampilan dan ibadah, pendekatan sederhana boleh diamalkan.

Antaranya termasuk mengambil wuduk sebelum bersolek, memilih solekan yang ringan dan mudah dibersihkan serta bersedia memperbaharui wuduk apabila perlu.

Melihat wuduk sebagai proses menyegarkan diri, bukan beban membantu wanita menjalani rutin harian dengan lebih tenang tanpa rasa terbeban,” katanya.

Kesedaran ini membolehkan penampilan dan ibadah berjalan seiring tanpa mengorbankan salah satu.

Mengekalkan wuduk sepanjang hari demi solekan adalah tidak mustahil, tetapi bukan tujuan sebenar wuduk.

Wanita boleh berhias dan tampil cantik, tetapi kesucian diri dan ibadah kepada Allah perlu sentiasa diutamakan.

“Wuduk yang diperbaharui itulah yang sebenarnya memberi seri dan ketenangan, menjadikan wanita cantik bukan hanya di mata manusia, tetapi juga di sisi Allah,” katanya.- Muslimah

TAGGED: