Bila hati terasa lelah untuk berubah…

Dalam perjalanan menuju kebaikan, adakalanya individu berada di puncak yang bercahaya namun ada masanya terperosok ke lembah yang kelam.

Hal itu dinamakan sebagai futur iaitu fasa di mana bateri semangat seolah-olah habis dan langkah yang dahulunya ringan ke masjid kini terasa sangat berat.

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Mohd. Khairi Mohd. Zain, futur bukanlah satu tanda kegagalan melainkan satu proses ujian ketekalan (istiqamah) di mana seseorang berasa lemah, malas atau bosan setelah melalui fasa semangat yang membuak-buak.

Namun, terdapat perbezaan antara rehat untuk mengumpul tenaga dengan futur yang berbahaya.

“Rehat bermaksud kita mengurangkan amalan sunat untuk memberi ruang kepada fizikal tetapi tetap menjaga yang wajib.

“Futur yang bahaya pula bermula apabila yang wajib pun mula dipandang remeh dan pintu maksiat lama mula diketuk kembali,” katanya kepada Muslimah.

Katanya, punca futur selalunya disebabkan faktor dalaman dan luaran.

“Secara dalaman, futur sering berpunca daripada niat yang kurang jelas atau melakukan perubahan terlalu drastik tanpa ilmu. Apabila jiwa ‘terkejut’ dengan bebanan ibadah yang tidak mampu ditanggung secara rutin, maka diri akan mula memberontak.

“Faktor luaran pula memainkan peranan besar melalui persekitaran dan rakan-rakan. Tanpa sistem sokongan yang betul, seseorang yang berhijrah akan merasa terasing, menyebabkan dia mudah tertarik untuk kembali ke zon selesa yang lama,” katanya.

Terdapat tiga simptom awal yang perlu diperhatikan iaitu kecenderungan merindui gaya hidup lama secara berlebihan, tabiat melengah-lengahkan solat serta hilangnya rasa nikmat dalam melakukan amal kebaikan.

Apabila simptom ini muncul, rasa bersalah yang melampau akan mula muncul di hati.

Rasa bersalah perlu dijadikan sebagai ubat untuk bertaubat dan bukannya alasan untuk terus menjauhkan diri daripada Tuhan.

“Jangan biarkan rasa bersalah menjadi ‘senjata’ syaitan untuk membuatkan diri berputus asa. Ingatlah, Tuhan itu Maha Pengampun,” katanya.

Menyentuh mengenai langkah pemulihan, individu disarankan tidak terlalu drastik membuat perubahan.

“Jika anda rasa berada di titik terendah, jangan cuba ‘berlari’ semula secara mengejut. Lakukan langkah kecemasan dengan memegang yang wajib dahulu,” jelasnya.

Selain itu, cari mentor atau sistem sokongan seperti guru dan rakan yang mampu mendengar tanpa memberikan penghakiman bagi memastikan hijrah terus berkekalan.

“Setiap individu boleh mengamalkan konsep ‘sedikit tetapi konsisten’ (istiqamah) serta bijak mengimbangi antara rasa takut (khauf) dan berharap (raja’) agar tidak mengalami keletihan melampau.

“Dalam proses penghijrahan, semangat diri adalah emosi manakala ilmu adalah logik akal.

“Menghadiri majlis ilmu akan dapat membantu akal memahami mengapa kita perlu bertahan walaupun hati sedang malas,” katanya. –Muslimah

TAGGED: