Dalam arus dunia yang semakin moden dan pantas berubah, isu adab Muslimah ketika berdepan lelaki ajnabi dilihat semakin dipandang ringan.
Perkara yang suatu ketika dahulu dijaga rapi, kini seolah-olah menjadi kebiasaan yang tidak lagi diberi perhatian.
Menerusi satu perkongsian oleh penerbit buku, Haziq.verse, isu ini diketengahkan kembali sebagai satu bentuk tarbiyyah yang wajar direnungi khususnya buat kaum Hawa.
Menurutnya, wanita yang bergelak tawa secara berlebihan sehingga hilang rasa malu dilihat semakin menjadi norma dalam masyarakat hari ini.
“Hakikatnya, Islam mengangkat martabat wanita bukan dengan membiarkan mereka bebas tanpa batas sebaliknya dengan menetapkan garis panduan yang melindungi kehormatan mereka,” katanya dalam hantaran tersebut.
Antara adab yang ditekankan termasuklah menjaga nada suara agar tidak terlalu tinggi sehingga menarik perhatian lelaki bukan mahram serta mengelakkan diri daripada menonjolkan perwatakan secara berlebihan demi meraih perhatian.
Muslimah juga disarankan untuk mengawal tawa dan tingkah laku agar sifat malu (iffah) terus terpelihara.
“Ini bukan kolot tetapi maruah dan harga diri seorang wanita Islam diangkat dengan sangat tinggi,” katanya.
Menariknya, perkongsian ini tidak hanya tertumpu kepada wanita semata-mata.
Golongan lelaki, khususnya suami dan bapa, turut memainkan peranan penting mendidik serta menegur dengan penuh hikmah.
“Dalam Islam, seorang suami wajib mempunyai sifat ghayrah (cemburu yang terpuji) apabila melihat isterinya berkelakuan tidak sopan di hadapan lelaki lain.
“Kegagalan menegur atau membiarkan perkara tersebut berlaku boleh menjatuhkan seseorang lelaki itu ke dalam sifat dayus yang sangat dibenci oleh Allah SWT.
“Begitu juga buat bapa, menegur anak perempuan yang sudah baligh bukan bermaksud mengongkong tetapi sebahagian daripada tanggungjawab untuk memastikan maruah keluarga sentiasa terpelihara,” katanya.
Menjaga adab bukanlah satu bentuk sekatan, sebaliknya satu perlindungan.
Ia adalah cerminan nilai diri dan benteng maruah yang memelihara kehormatan seorang wanita dalam apa jua keadaan.-Muslimah