5 tip kekal ramping tanpa perlu berlapar

Memiliki potongan badan yang langsing dan sihat bukan sekadar impian malah satu pelaburan jangka panjang untuk keyakinan diri serta kesihatan menyeluruh. 

Namun, ramai yang tersilap langkah dengan mengamalkan diet ekstrem sehingga memudaratkan diri.

Ikuti panduan ringkas dan praktikal ini untuk mengekalkan bentuk badan ideal secara konsisten tanpa perlu menyiksa diri.

Amalkan ‘Suku Suku Separuh’

Jangan sesekali meninggalkan waktu makan terutamanya sarapan. Rahsianya terletak pada kawalan saiz hidangan . Gunakan formula Suku Suku Separuh saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu suku pinggan untuk karbohidrat dan protein manakala separuh pinggan untuk sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai sumber serat.

Penghidratan 

Kita seringkali keliru antara rasa lapar dan rasa haus. Sebelum mencapai snek manis, minum segelas air kosong terlebih dahulu. Minum air 30 minit sebelum makan juga membantu lebih cepat kenyang sekali gus mengelakkan pengambilan kalori berlebihan.

Aktifkan diri secara santai

Anda tidak perlu terus mendaftar ke gimnasium jika tidak sempat. Mulakan rutin senaman dengan 10,000 langkah sehari atau melakukan aktiviti fizikal ringan seperti menggunakan tangga berbanding lif, melakukan kerja-kerja rumah seperti mengemas atau berkebun dan berjalan pantas di taman rekreasi sekurang-kurangnya 30 minit, tiga kali seminggu.

Tidur yang berkualiti

Kekurangan tidur boleh mengganggu hormon ghrelin (hormon lapar) dan leptin (hormon kenyang). Apabila anda tidak cukup rehat, badan cenderung untuk mengidam makanan tinggi gula dan lemak. 

Pastikan anda mendapat tidur yang berkualiti antara 7 hingga 8 jam setiap malam untuk metabolisme yang optimum.

Kawal pengambilan gula tersembunyi

Gula adalah musuh utama dalam diam. Kurangkan pengambilan minuman manis, krimer pekat manis dan snek segera. Gantikan keinginan manis tersebut dengan buah-buahan segar yang lebih kaya dengan nutrien dan serat. –  MUSLIMAH