Dalam hiruk-piruk dunia korporat yang serba pantas, pejabat sering dianggap sebagai rumah kedua.
Namun, bagi seorang wanita muda yang hanya mahu dikenali sebagai Lost, pejabat bukanlah tempat mencari rezeki tetapi menjadi medan ‘perburuan’ halus seorang pemangsa yang berselindung di sebalik jawatan besar dan karisma seorang ketua.
Kisah yang tular di platform Threads baru-baru ini bukan sekadar luahan perasaan biasa tetapi satu amaran keras tentang manipulasi emosi yang boleh menghancurkan masa depan seorang insan dalam sekelip mata.
Segalanya bermula dengan bicara santai antara majikan dan pekerja. Seorang majikan yang berusia mencecah 40-an mula menagih simpati daripada mangsa yang ketika itu baru mencecah usia awal 20-an.
Katanya, majikannya mula membuka pekung rumah tangganya dengan menceritakan betapa hambar hubungannya dengan isteri dan menderita dalam perkahwinan yang kononnya sudah hilang seri.
“Dia selalu cerita buruk pasal isteri dia. Katanya sudah tidak ada persefahaman, tidak ada ‘spark’.
“Saya yang pada ketika itu baru berusia awal 20-an, mula rasa kasihan dan akhirnya terperangkap dalam emosi yang diciptanya,” katanya.
Lelaki tersebut menggunakan kedudukannya sebagai bos untuk mendekati mangsa. Pemberian makanan, perhatian yang berlebihan dan kata-kata manis menjadi ‘umpan’ harian.
“Dia mula mengaku ada perasaan pada saya. Saya pada mulanya cuba menasihatinya supaya berbaik dengan isteri tetapi dia bijak memutar belit keadaan.
“Dia membuatkan saya rasa dialah mangsa keadaan dan sayalah satu-satunya insan yang memahami jiwanya,” kongsinya.
Namun, di sebalik kebaikan itu, keadaan menjadi semakin janggal apabila lelaki itu mula mengambil kesempatan fizikal.
Dalam satu insiden yang menghantui ingatan mangsa, lelaki itu bertindak menciumnya ketika dia tertidur di dalam kenderaan selepas keluar bersama atas urusan kerja.
“Saya tergamam. Saya cuba melawan tetapi dia terlalu kuat. Saya rasa berdosa tetapi dalam masa yang sama, saya keliru kerana dia terus-menerus menabur janji manis untuk bercerai dan membina hidup dengan saya,” tulisnya lagi.
Dilema itu berlarutan setahun lamanya. Janji untuk bercerai hanya tinggal janji.
Hakikatnya, lelaki itu sekadar mahukan hiburan di luar rumah manakala mangsa menanggung beban dosa dan rasa bersalah yang tidak tertanggung.
Apabila mangsa cuba menjauhkan diri dan meletak jawatan untuk memulakan hidup baru, ‘topeng’ lelaki itu mula terbuka.
Bukan perlindungan yang diberikan, sebaliknya penderitaan yang lebih besar menyusul.
Kini, mangsa terpaksa berhadapan dengan serangan peribadi daripada isteri majikannya di media sosial. Identitinya didedahkan (doxing), maruahnya dipijak dan dia dilabel sebagai perampas.
Kisah ini berakhir dengan seribu satu penyesalan, namun buat mangsa, perjalanan masih jauh.
Dia kini sedang cuba bangkit semula dan mendapatkan bantuan pakar terapi untuk merawat luka emosinya.-Muslimah