Wanita burnout, kerja rumah dan anak ditanggung sendiri

Dalam sesebuah perkahwinan, kebahagiaan sering digambarkan melalui detik manis yang dikongsi bersama pasangan dan anak-anak.

Namun di sebalik kehidupan yang kelihatan sempurna dari luar, tidak sedikit wanita yang sebenarnya sedang berjuang menanggung keletihan emosi dan fizikal seorang diri.

Bagi seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zara, keletihan itu akhirnya sampai ke tahap yang sukar lagi ditanggung.

Tekanan kecil dalam rumah tangga perlahan-lahan bertukar menjadi keletihan melampau atau burnout apabila hampir semua tanggungjawab rumah tangga diletakkan di atas bahunya seorang diri.

Perkataan cerai mungkin bukan sesuatu yang ingin didengar oleh mana-mana pasangan.

Namun bagi Zara, keputusan untuk berpisah bukan sekadar noktah kepada sebuah cinta, sebaliknya lahir daripada keletihan emosi yang dipendam terlalu lama.

Menerusi perkongsian yang tular di aplikasi Threads, Zara meluahkan kegusaran apabila suaminya didakwa mula menggunakan isu kesihatan mental serta kedudukan kewangan sebagai ‘senjata’ sekiranya perpisahan mereka benar-benar berlaku selepas Aidilfitri nanti.

Menurut Zara, dia sememangnya sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental yang berpunca daripada trauma masa lalu serta tekanan hidup yang berlarutan.

Namun lebih membebankan apabila segala urusan rumah tangga seolah-olah menjadi tanggungjawabnya seorang diri.

Daripada mencuci pinggan, membasuh pakaian, mengemas rumah hinggalah menguruskan anak-anak, semuanya perlu dilaksanakan tanpa banyak bantuan daripada pasangan.

Keadaan itu akhirnya membuatkan dirinya keletihan bukan sahaja secara fizikal, malah daripada segi emosi.

Keletihan yang dialaminya kini didakwa digunakan sebagai alasan untuk meragui kemampuannya sebagai seorang ibu.

Menurut Zara, suaminya mula mengugut untuk membawa kes mereka ke mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan anak-anak.

Berbekalkan kedudukan kewangan yang lebih stabil, lelaki itu dikatakan yakin mampu melantik peguam yang hebat bagi membuktikan Zara tidak layak menjaga anak-anak kerana keadaan mentalnya.

“Semasa kami masih bersama, dia tidak pernah pun pantau anak belajar atau buat aktiviti dengan mereka. Sekarang bila nak cerai, tiba-tiba dia jadi bapa yang paling prihatin?” luahnya lagi.

Situasi yang dialami Zara sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing.

Walaupun hatinya kini hancur dan rasa dikhianati, Zara berkata fokus utamanya bukan lagi tentang perkahwinan yang retak tetapi memastikan anak-anaknya tidak menjadi mangsa dalam konflik orang dewasa.

Di sebalik segala luka yang dialaminya, dia masih berharap agar ada sinar keadilan untuk dirinya sebagai seorang ibu yang hanya mahu terus berada di sisi anak-anak yang amat disayangi. – Muslimah

TAGGED: