Trend joget di media sosial tanda sifat malu Muslimah kian terhakis

Jika dahulu, wanita Melayu sangat sinonim dengan sifat pemalu dan lemah lembut namun peredaran zaman seolah-olah mula menghakis identiti murni tersebut.

Fenomena ini turut mendapat perhatian pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun yang baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai trend berjoget di khalayak umum, terutama yang melibatkan perkongsian di platform digital.

Melalui perkongsian di media sosialnya, beliau berkata sifat malu atau Al-Haya’ adalah sebahagian daripada iman. 

Malah, beliau memetik kisah Saidina Uthman bin Affan RA yang sangat dihormati oleh malaikat kerana sifat malunya yang luar biasa tinggi.

“Akhir zaman ini, hendak cari wanita atau lelaki yang ada sifat malu itu sangat susah. Padahal, sifat malulah yang menjadi dinding atau penghalang daripada kita melakukan perbuatan mungkar,” katanya.

Tambahnya, apabila sifat malu sudah dicabut daripada hati individu, maka runtuhlah benteng keimanan yang selama ini melindungi maruah diri.

“Tidak dinafikan, ada masanya kita ingin bersantai dan berjenaka bersama keluarga. 

“Aktiviti seperti menyanyi atau berjoget ringan bersama ahli keluarga terdekat (mahram) di dalam rumah bukanlah satu kesalahan besar jika tujuannya sekadar untuk merapatkan ukhuwah dan berseronok sesama sendiri,” katanya.

Namun, isu besar timbul apabila aktiviti peribadi itu dirakam dan dimuat naik ke media sosial untuk tatapan umum.

“Bila ia melibatkan tontonan awam dan melibatkan orang luar dan ajnabi, jawapannya adalah ‘tidak’. Jangan muat naik, jangan tunjuk. Kita kena tahu ada benda yang perlu disekat,” katanya.

Ada segelintir pihak beranggapan hidup tanpa mengikut trend semasa adalah membosankan. 

Namun, kehidupan yang berlandaskan syariat tetap boleh menjadi ceria, meriah dan penuh dengan gelak tawa tanpa perlu menggadaikan maruah diri di depan kamera.

“Hidup kami pun tidak bosan. Kami tetap buat lawak, tetap bergembira tapi ada hadnya. Kita kena bezakan mana yang boleh dikongsi dan mana yang perlu disimpan sebagai privasi keluarga,” jelasnya lagi.

Akhir sekali, beliau mengajak masyarakat untuk kembali bermuhasabah. 

Adakah segala ibadah yang kita lakukan seperti solat, puasa, zakat dan haji benar-benar memberi kesan kepada akhlak jika sifat malu itu sendiri tiada?

Dalam dunia yang semakin hilang sempadan antara yang hak dan batil, sifat malu sepatutnya menjadi pengukur darjah keimanan seseorang.-Muslimah