Tiga perkara Muslimah wajib periksa sebelum muat naik gambar di media sosial

Di musim perayaan ini, media sosial pasti dibanjiri dengan gambar-gambar kenangan bersama keluarga dan sahabat handai. 

Tidak salah untuk berkongsi kegembiraan tersebut, namun, dalam keterujaan memuat naik gambar raya, ada adab yang sering terlepas pandang oleh Muslimah iaitu tanggungjawab menjaga aurat dalam setiap gambar yang dikongsikan.

Menerusi satu perkongsian di TikTok, pendakwah bebas, Aisyah Adnan mengingatkan isu aurat di media sosial bukan hanya berkaitan diri sendiri, tetapi turut melibatkan orang lain dalam gambar.

“Sebelum menekan butang muat naik, Muslimah perlu berhenti seketika dan melihat semula gambar tersebut dengan lebih teliti, bukan sekadar menilai cantik atau tidak, tetapi menilai dari sudut adab,” katanya.

Periksa aurat diri sendiri

Ramai muslimah yang merasakan diri sudah menutup aurat dengan sempurna kerana memakai tudung dan pakaian labuh. 

Namun, gambar yang diambil daripada sudut tertentu kadangkala memperlihatkan bahagian seperti lengan, leher atau telinga tanpa disedari.

“Kadang-kadang kita rasa sudah cukup tutup aurat, tapi bila tengok semula gambar, ada bahagian yang sebenarnya terdedah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar gambar diperiksa dengan teliti sebelum dimuat naik bagi memastikan penampilan benar-benar menepati tuntutan menutup aurat.

Periksa aurat orang dalam gambar

Tambahnya, perkara yang paling kerap terlepas pandang ialah aurat individu lain yang berada dalam gambar sama.

Walaupun aurat diri sudah dijaga, rakan atau ahli keluarga di sebelah mungkin memperlihatkan rambut, telinga atau lengan. 

Jika gambar itu dimuat naik tanpa suntingan, individu yang memuat naik dianggap sebagai penyebar aurat tersebut.

“Kalau nak kongsi juga, sunting dahulu dengan meletakan pelekat atau tutup bahagian yang terdedah supaya aurat mereka tidak tersebar,” katanya.

Periksa tanda suka pada gambar orang lain

Selain memuat naik gambar sendiri, Aisyah turut menekankan tentang kesan daripada memberikan butang suka pada gambar individu yang tidak menutup aurat.

Menurutnya, tindakan tersebut boleh menjadi galakan tidak langsung kepada pemilik gambar untuk terus berkongsi gambar yang sama kerana merasakan perbuatannya tidak salah apabila mendapat perhatian ramai.

“Kadang-kadang kita rasa tanda suka itu biasa sahaja, tapi ia boleh buat orang rasa apa yang dia buat itu betul,” katanya.

Beliau berharap agar Muslimah lebih peka dengan peranan kecil ini dalam membantu mengurangkan normalisasi pendedahan aurat di media sosial.

Aidilfitri adalah waktu untuk mengeratkan silaturahim dan menyimpan kenangan indah. 

Namun, setiap perkongsian di media sosial datang bersama tanggungjawab besar sebagai Muslimah untuk memelihara maruah diri dan orang sekeliling.-Muslimah

@aisyah_adnanRamadan day 24: Common dosa time raya?

♬ Piano, sad, touching, majestic, nature, movie – arachang