Selalu pening ketika berpuasa? Ini cara atasi

Menjelang Ramadan, cabaran utama bagi segelintir individu bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi berdepan dengan masalah kesihatan seperti anemia dan tekanan darah rendah (hipotensi). 

Pesakit sering mengadu pening kepala, kepala berpusing dan keletihan melampau sehingga mengganggu ibadah.

Penghidap anemia dan tekanan darah rendah masih boleh menunaikan ibadah puasa jika diurus dengan ilmu dan strategi yang betul. 

Ramai yang keliru antara keduanya namun dalam istilah perubatan, keduanya adalah dua entiti yang berbeza.

Anemia adalah keadaan di mana badan kekurangan sel darah merah atau hemoglobin untuk mengangkut oksigen ke tisu badan manakala darah rendah pula merujuk kepada bacaan tekanan darah yang rendah (biasanya bawah 90/60 mmHg), menyebabkan aliran darah ke otak dan organ penting berkurangan.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), anemia sering berpunca daripada kekurangan zat besi manakala darah rendah pula biasanya dicetuskan oleh dehidrasi atau kekurangan garam mineral.

Bagi memastikan anda kekal cergas dan mengelakkan simptom ‘gelap mata’ ketika bangun dari sujud, ikuti panduan ini:

Ambil zat besi yang mencukupi semasa sahur

Jangan sekadar bersahur dengan nasi putih dan kicap. Pastikan ada sumber zat besi yang mudah diserap tubuh. Pilihan terbaik adalah daging merah tanpa lemak, hati ayam dan kerang.

Lengkapkan dengan pengambilan Vitamin C: 

Pengambilan jus oren atau buah-buahan semasa berbuka membantu penyerapan zat besi daripada sumber tumbuhan seperti bayam dan brokoli.

Teknik penghidratan ‘2-4-2’

Darah rendah sangat sensitif terhadap kekurangan cecair. Pastikan anda mengambil sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari menggunakan formula seperti  2 gelas semasa berbuka, 4 gelas antara waktu Isyak hingga sebelum tidur dan 2 gelas semasa sahur.

Elakkan kafein melampau

Kopi dan teh bersifat diuretik yang boleh menyebabkan anda kerap buang air kecil sekali gus meningkatkan risiko dehidrasi dan menurunkan lagi tekanan darah. Jika perlu, hadkan kepada satu cawan kecil sahaja selepas berbuka.

 Slow and Steady‘ ketika beribadah

Bagi penghidap darah rendah, perubahan posisi secara drastik boleh menyebabkan pening mendadak (orthostatic hypotension) . Bangun secara perlahan-lahan dari posisi duduk atau sujud. Beri masa beberapa saat untuk badan melaraskan tekanan darah.

Ibadah puasa adalah tuntutan namun memelihara nyawa adalah keutamaan dalam maqasid syariah. 

Ramadan kali ini seharusnya menjadi medan untuk kita lebih menghargai kesihatan.-Muslimah