Menjelang sambutan Aidilfitri, tradisi kunjung-mengunjung dan bersalaman memohon maaf sudah menjadi amalan yang tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat Islam.
Suasana meriah bertemu saudara-mara selepas sekian lama tidak berjumpa membuatkan ramai teruja untuk beramah mesra dan mengeratkan kembali hubungan kekeluargaan.
Namun dalam kegembiraan menyambut Syawal, masih terdapat kekeliruan dalam kalangan Muslimah mengenai hukum bersalaman dengan ahli keluarga yang bukan mahram.
Ada yang beranggapan hubungan kekeluargaan yang rapat atau membesar bersama sejak kecil sudah cukup untuk menghalalkan sentuhan, sedangkan syariat Islam sebenarnya telah menetapkan garis panduan yang jelas.
Menurut perkongsian Ustazah Asma’ Harun, mahram ialah individu yang haram dikahwini oleh seorang wanita atas sebab-sebab tertentu.
“Memahami konsep mahram sangat penting kerana ia bukan sekadar berkaitan soal perkahwinan, tetapi juga melibatkan batas aurat, sentuhan dan adab pergaulan antara lelaki dan wanita,” katanya.
Mahram merujuk kepada individu yang haram dikahwini oleh seorang wanita sama ada untuk selama-lamanya atau untuk tempoh tertentu berdasarkan hubungan tertentu.
Dalam ilmu fiqh, mahram terbahagi kepada dua kategori utama iaitu mahram muabbad yang haram dikahwini selamanya dan mahram muaqqat yang haram dikahwini hanya untuk tempoh sementara.
Muslimah wajib memahami asas penting ini supaya jelas siapa yang dibolehkan bersalaman dan siapa yang perlu dijaga batasnya terutama semasa raya.
Golongan Mahram Muabbad
Mahram muabbad ialah individu yang haram dikahwini oleh seorang wanita buat selama-lamanya.
Muslimah dibenarkan bersalaman dan aurat juga lebih longgar dengan golongan ini berbanding dengan lelaki ajnabi, namun adab dan kesopanan tetap perlu dijaga.
Antara mahram muabbad bagi wanita ialah bapa, datuk dan ke atas daripada kedua-dua belah pihak ibu dan bapa, anak lelaki serta cucu lelaki.
Selain itu, adik-beradik lelaki kandung sama ada seibu sebapa, sebapa sahaja atau seibu sahaja juga termasuk dalam kategori mahram.
“Bapa saudara iaitu adik-beradik lelaki kepada ibu atau bapa turut dikira sebagai mahram, begitu juga datuk saudara walaupun perkara ini jarang diberi perhatian oleh masyarakat,” katanya.
Mahram muabbad juga boleh terjalin melalui perkahwinan seperti bapa mentua dan anak lelaki tiri, selain hubungan susuan seperti adik-beradik susuan yang menyusu daripada ibu yang sama.
“Walaupun Islam memberi kelonggaran aurat dan pergaulan dengan mahram, adab tetap perlu dijaga agar hubungan kekeluargaan sentiasa dipelihara dengan baik,” katanya.
Golongan Mahram Muaqqat
Mahram muaqqat pula merujuk kepada individu yang haram dikahwini oleh seorang wanita hanya untuk tempoh dan faktor tertentu, kebiasaannya berkait dengan perkahwinan yang sedang berlangsung.
Contohnya termasuk ipar lelaki iaitu abang atau adik kepada suami.
“Walaupun sering dianggap sebagai ahli keluarga rapat, ipar lelaki sebenarnya bukan mahram dan wanita tidak dibenarkan bersalaman atau bersentuhan dengannya,” katanya
Larangan ini hanya akan berubah sekiranya berlaku perceraian atau kematian pasangan.
Begitu juga dengan lelaki yang menjadi suami kepada adik atau kakak seorang wanita, atau suami kepada ibu saudara daripada pihak ibu atau bapa, mereka tergolong dalam mahram muaqqat selagi tempoh larangan syariat masih berlaku.
“Hubungan ipar sering disalahfaham oleh masyarakat. Walaupun dianggap keluarga sendiri, batas pergaulan tetap perlu dijaga,” katanya.
Kekeliruan terhadap sepupu
Isu yang sering timbul ketika Hari Raya ialah mengenai sepupu.
Ramai wanita beranggapan sepupu seperti adik-beradik sendiri kerana membesar bersama atau tinggal sekampung sejak kecil.
Hakikatnya, sepupu iaitu anak kepada ibu saudara atau bapa saudara bukan mahram kepada wanita dan tidak termasuk dalam kategori mahram muabbad atau mahram muaqqat.
Oleh itu, hukum menjaga aurat dan larangan bersentuhan tetap terpakai walaupun hubungan sangat rapat.
Perkahwinan antara sepupu juga dibolehkan dalam Islam, sekali gus menunjukkan hubungan tersebut bukan mahram.
“Keakraban sejak kecil tidak mengubah hukum syarak. Walaupun dibesarkan bersama, sepupu tetap bukan mahram dan batas pergaulan perlu dipelihara,” katanya.
Adik-beradik tiri
Kekeliruan juga sering berlaku dalam keluarga campuran apabila seorang lelaki dan seorang wanita yang masing-masing mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu mendirikan rumah tangga.
Anak-anak mereka dipanggil adik-beradik tiri, namun daripada sudut hukum syarak mereka sebenarnya bukan mahram antara satu sama lain kerana tiada hubungan nasab, perkahwinan atau susuan yang menjadikan mereka mahram.
Ini bermakna mereka perlu menjaga aurat, tidak boleh bersalaman dan sentuhan juga boleh membatalkan wuduk.
“Malah anak-anak tiri juga dibenarkan berkahwin antara satu sama lain kerana tiada hubungan mahram,” katanya
Namun terdapat pengecualian bagi bapa tiri dengan anak perempuan tiri atau ibu tiri dengan anak lelaki tiri yang menjadi mahram sekiranya perkahwinan ibu bapa mereka telah disempurnakan dengan persetubuhan.
Walaupun sambutan Hari Raya penuh dengan kemeriahan dan kegembiraan, wanita tetap perlu mematuhi hukum syariat dalam setiap interaksi terutama ketika bergaul dengan ahli keluarga yang bukan mahram.
“Syawal adalah waktu untuk saling bermaafan dan mengeratkan silaturahim, namun dalam masa yang sama batas pergaulan yang ditetapkan syariat tetap perlu dijaga,” katanya.-Muslimah