Raya pertama di rumah mentua? Ini 5 cara tawan hati mereka

Aidilfitri bukan sekadar tentang baju raya sedondon, rumah yang dihias indah atau hidangan yang memenuhi meja makan.

Bagi sesetengah wanita, terutama yang baru melangkah ke alam perkahwinan, Syawal juga membawa satu peranan baharu iaitu sebagai menantu dalam keluarga pasangan.

Raya pertama bersama keluarga mentua sering hadir dengan rasa teruja bercampur debaran. Dalam suasana penuh kemeriahan ini, ramai menantu baharu berharap dapat menyesuaikan diri dengan baik serta meninggalkan kesan yang manis di hati keluarga pasangan.

Hakikatnya, menawan hati mentua tidak memerlukan usaha yang terlalu besar. Kadangkala, sikap sederhana seperti membantu di dapur, menjaga adab ketika bergaul dan menunjukkan rasa hormat sudah cukup untuk membuatkan mereka berasa dihargai.

Berikut lima cara mudah yang boleh diamalkan untuk menawan hati mentua ketika menyambut Aidilfitri.

1.Tunjukkan kesungguhan membantu di dapur

Di pagi raya, dapur sering menjadi tempat paling sibuk di dalam rumah. Di sinilah pelbagai juadah tradisi seperti ketupat, rendang dan kuah kacang disiapkan untuk tetamu yang datang berkunjung.

Sebagai menantu,  ringankan tulang membantu ibu mentua di dapur. Walaupun sekadar memotong bahan masakan, menyusun pinggan atau menghidangkan makanan di meja, usaha ini menunjukkan kesungguhan untuk turut sama memeriahkan suasana raya.

Sikap ringan tulang seperti ini sering meninggalkan kesan positif di hati mentua kerana mereka melihat menantu sebagai seseorang yang prihatin dan menghargai keluarga.

2. Bangun awal dan peka dengan suasana rumah

Pagi raya biasanya bermula lebih awal daripada hari biasa. Ada yang bangun untuk menyediakan sarapan, mengemas rumah atau bersiap untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Bagi menantu baharu, bangun awal dan peka terhadap suasana rumah boleh menjadi satu bentuk penghormatan kepada tuan rumah. Mengemas tempat tidur, membantu menyapu rumah atau memastikan ruang tamu kemas sebelum tetamu datang adalah perkara kecil yang mampu membuatkan mentua berasa dihargai.

Kadangkala, perhatian terhadap perkara sederhana inilah yang paling diingati.

3. Sentiasa menjaga adab dan tutur kata

Dalam kemeriahan berkumpul bersama keluarga besar, menjaga adab dan tutur kata menjadi perkara yang sangat penting.

Menantu yang sentiasa bersopan ketika berbual, mendengar dengan penuh hormat serta menunjukkan sikap ramah kepada ahli keluarga pasangan akan mudah diterima dalam keluarga tersebut.

Walaupun mungkin masih berasa kekok, sikap menghormati orang yang lebih tua serta berusaha menyesuaikan diri dengan suasana keluarga mentua akan membantu membina hubungan yang lebih mesra dari semasa ke semasa.

4. Menjaga aurat dan batas pergaulan

Hari raya sering menemukan kita dengan ramai ahli keluarga yang jarang ditemui sepanjang tahun.

Dalam suasana ini, menantu baharu juga perlu peka terhadap batas pergaulan, terutama dengan saudara lelaki yang bukan mahram.

Pilih pakaian yang sopan, jaga aurat serta berinteraksi dengan penuh adab bukan sahaja mencerminkan keperibadian yang baik, malah menunjukkan rasa hormat terhadap keluarga pasangan.

Sikap ini juga sering dipandang tinggi oleh mentua kerana menggambarkan kematangan dan kefahaman tentang adab dalam keluarga.

5. Sentiasa menjaga air muka pasangan

Dalam kesibukan melayan tetamu dan menguruskan pelbagai perkara sepanjang hari raya, salah faham kecil antara suami isteri kadangkala tidak dapat dielakkan.

Namun bagi menantu baharu, menjaga air muka pasangan di depan keluarga mentua adalah sangat penting.

Mengelakkan pertengkaran di hadapan orang lain serta memilih untuk berbincang secara tenang ketika berdua menunjukkan kematangan dalam hubungan.

Sikap saling menjaga ini bukan sahaja membuatkan mentua berasa senang hati, malah membantu mengekalkan suasana raya yang harmoni.-Muslimah