Hari Raya sepatutnya menjadi hari kegembiraan dengan kunjung-mengunjung dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Namun bagi sesetengah wanita, Syawal kadangkala datang bersama ‘ujian’ emosi.
Soalan seperti ‘bila nak kahwin?’, ‘kenapa masih single?’ atau ‘bila nak ada anak?’ masih lagi menjadi ‘pembuka kata’ ketika berkumpul bersama saudara-mara.
Walaupun ada yang menganggapnya sekadar gurauan atau cara memulakan perbualan, bagi sesetengah wanita ia boleh menimbulkan tekanan mental dan membuatkan wanita berasa kurang selesa.
Soalan Raya yang boleh menimbulkan tekanan emosi
Gurauan atau teguran daripada ahli keluarga tidak seharusnya cepat disimpan dalam hati. Ia boleh dianggap sebagai cara mereka memulakan perbualan.
Namun, ia juga tidak sepatutnya sehingga menimbulkan rasa merajuk atau bermasam muka, lebih-lebih lagi dengan orang tua kerana mungkin ini peluang terakhir untuk meluangkan masa bersama mereka.
Soalan yang menyentuh perkara peribadi seperti perkahwinan, zuriat atau kehidupan seseorang boleh dianggap sensitif dan berpotensi mengguris hati.
Prinsip mudah yang boleh diamalkan ialah ‘jika orang tidak bercerita, kita tidak perlu bertanya’.
Dengan pendekatan ini, suasana Syawal dapat kekal menggembirakan tanpa menambah beban perasaan kepada sesiapa.
Adab bertanya menurut perspektif Islam
Selain menjaga kesihatan mental, Islam juga menekankan adab dalam komunikasi, termasuk ketika bertanya.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pertanyaan sepatutnya disampaikan dengan tutur kata yang lemah lembut dan bertujuan menambah ilmu, bukannya untuk mengguris hati.
Jawapan yang diberikan pula perlu didengar dengan teliti tanpa dipotong dan tidak sepatutnya dibandingkan dengan jawapan atau situasi orang lain.
Apabila adab ini dipraktikkan, perbualan yang berlaku bukan sahaja lebih harmoni tetapi juga membawa keberkatan.
Raya sebagai ruang kegembiraan
Akhirnya, Hari Raya sepatutnya menjadi ruang untuk memaafkan, membuka lembaran baharu dan menyebarkan kegembiraan.
Bagi wanita yang sering menjadi sasaran soalan sensitif, penting untuk menjaga emosi dan kekuatan mental.
Bagi keluarga pula, menggantikan soalan sensitif dengan doa dan ucapan positif mampu menjadikan setiap kunjungan lebih hangat dan bermakna.-Muslimah