Tembok ego suami kadangkala boleh menjadi punca suasana hambar dan dingin dalam perkahwinan.
Ada masanya, teguran kecil dianggap cabaran, manakala perbincangan pula berakhir dengan kesunyian yang membeku.
Hati lelaki walau sekeras mana pun zahirnya tetap mempunyai ruang lembut yang hanya boleh diteroka dengan hikmah dan kesabaran seorang isteri. Bukan dengan api tetapi dengan sentuhan emosi yang tepat.
Menurut pendakwah terkenal, Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, kunci menundukkan ego suami bukan terletak pada tingginya suara atau tajamnya hujah tetapi pada kelembutan jiwa dan kekuatan rohani seorang isteri.
Katanya, solat berjemaah adalah ubat paling mujarab untuk menyatukan dua hati yang berbeza pendapat.
Apabila suami berdiri di depan sebagai imam, secara tidak langsung wujud rasa tanggungjawab untuk memimpin dengan kasih sayang.
“Bila kita sujud di belakang suami, kita sedang meletakkan ketaatan kita kepada Allah melalui dia. Biar macam mana pun rasa geram dalam hati, bila dahi menyentuh sejadah di belakang suami, Allah akan turunkan sakinah (ketenangan).
“Suami pula akan rasa dirinya pelindung bukan lagi penentang,” katanya kepada Muslimah.
Selain itu, lelaki secara psikologinya akan marah apabila rasa dirinya dicabar. Oleh itu, isteri perlu bijak bermain dengan seni kata. Gunakan panggilan yang paling disukainya dan mulakan bicara dengan penghargaan.
“Lelakikalau kita ‘langgar’, dia makin keras. Cuba teknik memuji. Sebut kebaikannya dahulu sebelum mahu menegur silapnya.
“Bila suami rasa dirinya dihargai dan dihormati, egonya akan cair dengan sendiri kerana dia rasa selamat dan tidak terancam di sisi isteri,” katanya.
Sebagai hamba-Nya, kita harus sedar hati manusia itu dipegang oleh Sang Pencipta.
Selain usaha zahir, titipkan doa khusus buat si dia. Antara amalan yang dikongsi adalah membaca Ya Latif (Yang Maha Melembutkan) dan Surah Taha.
“Jangan lawan ego dengan kata-kata, lawan dengan doa. Masa dia tidur, usap lembut ubun-ubunnya. Bisikkan pada Allah, ‘Ya Allah, lembutkan hati suamiku seperti mana Engkau lembutkan besi untuk Nabi Daud,” katanya.
Menambat ego suami bukan bermaksud mengubah fitrah mereka sebagai pemimpin tetapi membantu mereka memimpin dengan rahmat.
Melalui kelembutan, doa dan ketaatan, seorang isteri sebenarnya memegang kunci yang mampu membuka pintu hati suami yang paling keras.-Muslimah