Persiapan raya lebih meriah bila lelaki ‘tak tengok sahaja’

Setiap kali menjelang Aidilfitri, ramai wanita sudah bersedia dengan senarai tugas yang panjang. 

Daripada memasak pelbagai juadah, mengemas rumah hingga memastikan semuanya sempurna untuk tetamu, wanita menjadi individu paling sibuk di rumah.

Namun bagi seorang wanita ini, pengalaman menyambut raya bersama keluarga mentuanya ternyata jauh berbeza daripada yang dibayangkan.

Menerusi perkongsiannya di aplikasi Threads, wanita dikenali sebagai @shvmineyo berkongsi suasana di rumah mentuanya membuatkan dia benar-benar terkejut dalam cara yang sangat positif.

Menurutnya, sejak awal lagi keluarga suaminya tidak meletakkan sepenuhnya kerja rumah di bahu wanita.

Sebaliknya, setiap ahli keluarga sudah terbiasa berkongsi tanggungjawab tanpa mengira lelaki atau perempuan.

Perkara itu paling jelas dilihat ketika mereka membuat persiapan Hari Raya.

Katanya, jika di kebanyakan rumah wanita akan sibuk di dapur, situasi itu agak berbeza di rumah mentuanya.

“Bila lelaki dan perempuan faham kelebihan dan kekurangan masing-masing, kita boleh buat kerja sama-sama,” katanya.

Menurutnya, kerja yang memerlukan tenaga biasanya dilakukan oleh lelaki, manakala wanita pula menyempurnakan tugas yang lebih terperinci.

Contohnya, lelaki akan melakukan kerja berat seperti mengangkat barang atau membeli bahan masakan, manakala wanita memastikan hidangan disusun kemas dan sempurna untuk tetamu.

Lebih mengejutkan, urusan memasak di dapur juga sering diketuai lelaki.

Wanita pula membantu melakukan kerja-kerja kecil seperti memotong bahan masakan, menyediakan pinggan hidangan serta memastikan semuanya siap untuk dihidangkan kepada tetamu.

Lebih manis lagi, suasana di dapur langsung tidak dipenuhi dengan sindiran atau rasa berkira tentang siapa yang bekerja lebih banyak.

“Tidak ada saling perli atau berkira siapa buat (kerja) lebih banyak,” katanya.

Tambahnya, pengalaman pertama menyambut Hari Raya bersama keluarga mentuanya benar-benar membuka matanya tentang pembahagian tanggungjawab dalam keluarga boleh menjadikan suasana rumah lebih tenang.

Pengalaman itu bukan sahaja membuatkan persiapan raya terasa lebih ringan, malah membuatkan dia berasa dihormati dan diterima sebagai sebahagian daripada keluarga tersebut.-Muslimah