Olahan lauk raya elak pembaziran

Lambakan lebihan makanan atau yang memenuhi ruang peti sejuk pasti memeningkan kepala ibu-ibu di musim perayaan ini, bukan?

Daripada rendang daging yang dipanaskan berulang kali, ketupat yang mulai mengeras sehinggalah kuah kacang yang masih berbaki separuh periuk, semuanya selalu berakhir di tong sampah.

Memanaskan lauk yang sama selama berhari-hari bukan sahaja dapat membosankan selera malah mengurangkan kualiti nutrisi makanan tersebut. 

Justeru, transformasi hidangan adalah kunci utama bagi masalah ini.

Sebagai contoh, rendang daging yang berbaki boleh diolah menjadi inti karipap, sandwich atau digoreng bersama nasi untuk dijadikan Nasi Goreng Rendang yang menyelerakan. 

Manakala ketupat atau nasi impit yang sudah keras pula boleh dipotong dadu dan digoreng seperti  char kuey teow atau dimasak semula menjadi bubur berlauk.

Langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos dapur selepas berbelanja besar untuk raya malah mendidik ahli keluarga untuk lebih menghargai rezeki yang ada.

Teknik penyimpanan bijak

Selain kreativiti mengolah, aspek kebersihan dan cara penyimpanan juga tidak boleh dipandang remeh. 

Pastikan setiap lebihan makanan disimpan dalam bekas kedap udara yang berasingan mengikut  hidangan sekali makan.

Elakkan mencampur-adukkan lauk yang baru dimasak dengan lauk lama. Penggunaan label tarikh pada setiap bekas juga sangat membantu untuk memantau tempoh hayat makanan di dalam peti sejuk beku agar kualitinya tetap terjamin dan selamat untuk dimakan.

Pembersihan secara mendalam

Topik pasca-raya juga melibatkan pembersihan rapi atau deep cleaning. Bekas-bekas minyak pada dinding dapur, kerak hitam pada periuk belanga dan susunan rempah-ratus yang kucar-kacir perlu dibersihkan semula.

Gunakan bahan semula jadi seperti cuka dan soda bikarbonat untuk menanggalkan kesan minyak degil tanpa perlu menyental terlalu kuat.

Dapur yang kembali bersih dan teratur bukan sahaja menaikkan semula semangat memasak malah memberikan ketenangan minda buat wanita.

Kesimpulannya, pengurusan sisa makanan dan kebersihan dapur pasca-raya mencerminkan kebijaksanaan seorang pengurus rumah tangga. 

Melalui sedikit kreativiti dan perancangan teliti, kita mampu menyambut kemenangan Syawal dengan penuh keberkatan tanpa pembaziran.-Muslimah