Jodoh tidak datang bergolek, Muslimah perlu usaha 

Isu jodoh sering menjadi antara perkara yang paling dekat di hati Muslimah, lebih-lebih lagi apabila melihat orang sekeliling sudah melangkah ke alam perkahwinan.

 Ada yang terus berusaha, namun tidak kurang juga yang mula berasa penat dan hampir berputus asa.

Menerusi satu perkongsian di TikTok, pendakwah bebas, Aisyah Adnan tampil memberi perspektif yang lebih menenangkan. 

Menurutnya, jodoh sebenarnya ibarat rezeki dan ia bukan sesuatu yang datang dengan sendiri tanpa usaha.

“Kalau kita tidak berjaya dapat kerja di syarikat A, kita akan cari peluang di tempat lain, bukan? Begitu juga jodoh. Kalau tidak menjadi dengan seseorang, kita perlu teruskan usaha dan kenal orang lain,” katanya.

Tambahnya, tidak semua orang dikurniakan jodoh yang hadir dengan mudah. Ada yang perlu melalui beberapa fasa perkenalan, penolakan dan kekecewaan sebelum dipertemukan dengan insan yang benar-benar sesuai.

Paling penting, kegagalan dalam hubungan tidak seharusnya membuatkan seseorang itu terus berputus asa atau merasakan diri tidak cukup baik.

“Kalau kita tidak dapat orang yang kita inginkan, mungkin Allah sedang sediakan seseorang yang lebih baik untuk kita. Penolakan itu bukan penamat, tetapi sebahagian daripada perjalanan,” katanya.

Katanya, usaha adalah tanggungjawab individu, manakala hasilnya adalah ketentuan Allah SWT.

“Tugas kita hanya berusaha. Sama ada diterima atau ditolak, itu kerja Tuhan,” katanya.

Selain itu, faktor masa juga memainkan peranan penting dalam soal jodoh. Ada kalanya, hubungan tidak menjadi bukan kerana individu itu tidak sesuai, tetapi kerana waktu yang belum tepat.

“Mungkin sekarang bukan masanya. Tapi tidak mustahil, pada masa akan datang, bila keadaan sudah sesuai, segalanya boleh berubah,” katanya.

Sehubungan itu, Aisyah menyarankan agar Muslimah tidak terlalu cepat membuat keputusan untuk berputus asa. 

Sebaliknya, teruskan berdoa, lakukan solat istikharah dan minta petunjuk daripada Allah SWT sama ada perlu menunggu atau membuka hati kepada orang lain.

“Kalau memang perlu move on, maka teruskan langkah dan buka peluang untuk calon yang lain. Jangan tutup pintu hanya kerana satu kegagalan,” nasihatnya.-Muslimah

@aisyah_adnanBaca komen, ramai dh putus asa bab jodoh. So yaa, hopefully vid ni membantu

♬ Istikharah Cinta Piano Cover – aberbotaque