Isteri tanggung segalanya, suami diam-diam ada perempuan lain

Sambutan Aidilfitri sepatutnya menjadi momen penyatuan jiwa dan pengukuhan kasih sayang. 

Namun bagi segelintir individu, Syawal tahun ini membawa duka yang tidak terperi apabila kepercayaan yang dipupuk bertahun-tahun hancur dalam sekelip mata.

Baru-baru ini, tular di platform Threads satu perkongsian menyayat hati daripada seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Bro_Kenheart’. 

Dalam hantaran tersebut, dia mendedahkan rumah tangga yang baru sahaja menginjak usia lima tahun kini berada di ambang kehancuran selepas suaminya mengaku curang sejak tiga tahun lalu.

Menurut wanita itu, segalanya bermula apabila dia menyedari perubahan drastik pada sikap suaminya. 

Jika dahulu mereka sering berkongsi masa, kini suami lebih gemar menghabiskan waktu sendirian dengan alasan mahukan ‘ruang peribadi’.

“Dahulu kami sering bermain permainan video bersama tetapi kebelakangan ini dia lebih suka bermain sendiri dan enggan membenarkan saya masuk ke dalam bilik. 

“Katanya mahu fokus tetapi rupa-rupanya ada hati lain yang sedang dijaga,” luahnya dalam hantaran tersebut.

Lebih memilukan, si isteri rupa-rupanya merupakan tunjang utama ekonomi keluarga. 

Selama ini, dia banyak berkorban wang ringgit termasuk membiayai penyelenggaraan kenderaan suami dan menanggung kos sara hidup demi memastikan kebahagiaan mereka bersama.

Keadaan menjadi semakin parah apabila rahsia yang disimpan rapi akhirnya terbongkar. 

Suaminya bukan sahaja mengaku menjalin hubungan dengan seorang wanita berstatus janda malah mendedahkan kekasih gelapnya itu kini sedang hamil.

“Dunia seakan terhenti apabila dia memberitahu wanita itu mengandung dan meminta dia bertanggungjawab. 

“Saya rasa seolah-olah segala pengorbanan saya selama ini dipijak-pijak,” tulisnya.

Wanita itu turut mendedahkan dia pernah berasa curiga apabila melihat suaminya kerap keluar dengan alasan berjumpa rakan namun tidak menyangka hubungan tersebut sudah melangkaui batas sehingga melibatkan kehamilan.

Enggan terus memendam rasa, wanita itu mengambil keputusan drastik dengan melibatkan kedua-dua belah pihak keluarga. 

Baginya, segala perbincangan harus dilakukan secara bersemuka demi mencari jalan penyelesaian terbaik walaupun hatinya sudah tawar untuk meneruskan perkahwinan tersebut.

“Keputusan akhir saya ialah tidak mahu lagi meneruskan hubungan ini. Saya sudah panggil ibu bapa kami untuk berbincang. Biarlah dia bertanggungjawab atas apa yang telah dia lakukan,” luahnya.

Kisah ini mendapat perhatian ramai warganet yang bersimpati dengan nasib wanita tersebut.

 Ramai yang memberi kata-kata semangat agar dia terus kuat demi masa depan dan tidak lagi menoleh ke belakang demi lelaki yang tidak tahu menghargai pengorbanan isteri.-Muslimah