Cristina korbankan segalanya demi memeluk Islam

Keputusan untuk memeluk Islam bukanlah satu langkah yang mudah buat Cristina Chew lebih-lebih lagi ketika usianya sudah memasuki fasa 30-an dan sudah pun berumahtangga.

Anak kelahiran Selangor yang dibesarkan dalam keluarga beragama Buddha itu mengakui, perubahan tersebut bukan sekadar pertukaran agama semata-mata. 

Baginya, ia adalah titik mula kepada sebuah kehidupan baharu yang menuntut keberanian, keikhlasan dan pengorbanan yang besar.

Minatnya terhadap Islam sebenarnya berputik sejak zaman universiti. 

Dalam tempoh itu, beliau banyak memerhati, membaca dan memahami ajaran Islam secara perlahan-lahan. 

Hatinya mula tersentuh apabila melihat Islam bukan hanya sebagai agama, tetapi sebagai panduan hidup yang menyeluruh.

“Islam memberi saya arah dan ketenangan. Dalam setiap langkah, saya rasa lebih teratur,” katanya kepada Muslimah.

Menurut Cristina, keputusan untuk memeluk Islam hadir selepas melalui proses pencarian yang panjang. 

Perkara paling menyentuh hatinya adalah hubungan langsung antara hamba dan Pencipta.

“Saya pilih untuk masuk Islam kerana akhirnya saya rasa saya jumpa cara untuk benar-benar ‘bercakap’ dengan Allah, tanpa perantara, hanya saya dan Dia,” katanya penuh syukur.

Namun, wanita berusia 36 tahun ini mengambil masa hampir sedekad untuk benar-benar bersedia mengucap Syahadah dan mengamalkan ajaran Islam secara serius.

Beliau juga belajar berpuasa selama dua tahun sebelum memeluk Islam.

“Saya banyak belajar sendiri kerana segan untuk bertanya. Tetapi saya tetap pergi ke kelas agama di masjid dan pusat mualaf untuk kukuhkan kefahaman,” katanya.

Menurutnya, keputusan itu bukan dipengaruhi sesiapa, termasuk rakan-rakan.

“Mereka sendiri tidak tahu saya sebenarnya sedang mendalami Islam secara diam-diam. Saya banyak membaca buku-buku islam dan menonton ceramah untuk memahami Islam,” katanya.

Kini, sudah tujuh tahun beliau bergelar Muslimah dan memasuki tahun kesembilan menunaikan ibadah puasa.

Hari demi hari beliau cuba memperbaiki diri dan penampilan ke arah kebaikan. 

“Cuma, kelemahan saya adalah masih tidak boleh istiqamah pakai tudung. Bagi saya, setiap individu ada kelemahan masing-masing,” katanya.

Korbankan perkahwinan

Dalam tempoh mendalami Islam, Cristina pernah mendirikan rumah tangga dengan lelaki bukan Islam. 

Pada awalnya, kehidupannya kelihatan stabil seperti wanita lain yang membina masa depan bersama pasangan.

Namun di sebalik semua itu, wanita ini berdepan konflik dalaman.

“Dalam tempoh itu, saya rasa tidak dapat lepaskan keinginan untuk masuk Islam,” katanya.

Perasaan itu semakin kuat sehingga dia merasakan dirinya berada di persimpangan antara mempertahankan perkahwinan atau memilih keyakinan yang diyakini benar.

“Saya tidak terburu-buru, tetapi saya cuba berbincang dengan suami dan ajak dia memeluk Islam bersama-sama,” katanya.

Namun ajakan itu tidak diterima dan tanpa pertelingkahan besar, mereka akhirnya memilih berpisah secara baik. 

Perkahwinan tersebut bertahan kurang dua tahun dan ketika itu mereka sudah mempunyai anak.

Baginya, memeluk Islam bukan sekadar menukar agama pada dokumen rasmi, tetapi satu komitmen hidup yang menyeluruh. 

Biarpun terpaksa melepaskan perkahwinan, dia percaya keputusan itu memberi ketenangan jiwa yang tidak ternilai.

Perjalanan mencari ketenangan

Selepas melalui fasa sukar itu, Cristina memilih untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan caranya tersendiri.

Selain aktif sebagai pencipta kandungan digital di aplikasi Tiktok @dearcristina, dia juga gemar mengembara secara solo bagi mencari ketenangan jiwa. 

Antara negara yang pernah dikunjunginya termasuk Jordan, Mesir, Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Apabila mengembara seorang diri, saya rasa macam makin dekat dengan Allah,” katanya.

Bagi Cristina, perjalanan bersendirian memberi ruang bermuhasabah dan menguatkan hubungan dengan Allah.

Kenangan semasa mengembara di Jordan pada 2018.

Ramadan dan Raya jadi refleksi 

Ramadan menjadi ruang refleksi tentang pilihan hidup yang telah dibuat.

Bagi Cristina, cabaran terbesar bukanlah menahan lapar dan dahaga, sebaliknya ujian emosi apabila menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, selepas solat sunat Hari Raya, adakalanya beliau pulang ke rumah dalam keadaan sunyi kerana kebanyakan kenalannya meluangkan masa bersama keluarga masing-masing.

“Saya rasa teruja ketika Ramadan tetapi musim raya rasa sunyi sedikit,” luahnya.

Mengulas mengenai penerimaan keluarga pula, kata Cristina, hubungan bersama keluarga kini semakin baik dan saling memahami walaupun berbeza pegangan.

Malah, beliau turut serta menyambut Sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini bersama keluarga.

Tahun ini,  beliau menyambut pada hari pertama dan kedua sahaja, manakala kunjungan untuk hari raya ketiga pula dia berkunjung ke rumah keluarga selepas waktu berbuka kerana jatuh pada bulan Ramadan.

Muslimah ini turut meluahkan hasrat untuk menikmati Ramadan di Mekah suatu hari nanti.

“Ramadan bukan sekadar puasa, ia perjalanan jiwa. Ramadan mengajar saya tentang sabar dan pengorbanan,” katanya.

Bagi Cristina, hidayah tidak datang tanpa harga, namun setiap pengorbanan demi iman, pasti akan digantikan dengan ketenangan yang lebih bermakna.-Muslimah

TAGGED: