Bagi wanita yang sedang merancang untuk menimang cahaya mata, memahami kitaran haid bukan sekadar mencatat tarikh di kalendar.
Masih ramai yang tersilap mengira kitaran haid, sekali gus terlepas peluang keemasan untuk hamil.
Menerusi perkongsian pakar perubatan, Dr. Bella Hassle di platform media sosial, kesilapan lazim yang sering dilakukan oleh pesakit apabila menyangka kitaran haid dikira dari hari pertama hingga hari terakhir darah keluar.
Katanya, kitaran haid yang tepat dikira bermula dari hari pertama haid bulan ini sehingga hari sebelum haid bulan depan bermula.
“Sebagai contoh, hari pertama haid adalah pada 1 Mac dan hari pertama haid seterusnya adalah pada 29 April. Maka, jumlah kitaran adalah 28 hari.
“Secara purata, kitaran normal bagi seorang wanita adalah antara 21 hingga 35 hari,” katanya.
Jelasnya, pengiraan ini sangat penting kerana dapat mengetahui waktu subur (ovulasi) iaitu fasa telur (ovum) dilepaskan dari ovari.
“Waktu ini sangat singkat. Telur hanya hidup selama 12 hingga 24 jam sahaja.
“Namun, berita baiknya adalah sperma boleh bertahan di dalam rahim selama tiga hingga lima hari. Inilah yang kita panggil sebagai Windows of Opportunity,” katanya.
“Bagi wanita yang mempunyai kitaran tetap 28 hari, waktu subur biasanya jatuh pada hari ke-14 (28 – 14 = 14), dikira dari hari pertama haid,” jelasnya.
Tambahnya, tidak semua wanita mempunyai kitaran haid selama 28 hari.
Ada yang mengalami kitaran tidak teratur, tempoh haid yang singkat atau keliru membezakan antara darah haid dan darah penyakit.
Bagi situasi ini, beliau menyarankan wanita tidak membiarkan kekeliruan berpanjangan dan segera mendapatkan nasihat pakar.
“Pengesanan waktu subur yang tepat adalah langkah pertama yang kritikal untuk mendapatkan zuriat.
“Jangan tunggu sehingga kitaran menjadi terlalu celaru. Catat setiap tarikh dengan teliti dan kenali isyarat tubuh anda untuk meningkatkan peluang kehamilan,” katanya.-Muslimah