4 gaya menarik selendang bahu untuk rumah terbuka

Hujung minggu begini, pasti ramai yang memenuhi undangan rumah terbuka Aidilfitri bersama keluarga dan sahabat handai.

Dalam suasana penuh meriah ini, penampilan yang kemas dan bergaya sering menjadi antara keutamaan, khususnya bagi Muslimah yang ingin tampil lebih yakin dan anggun.

Selendang bahu kini bukan sekadar pelengkap busana, malah semakin menjadi item fesyen yang memberi sentuhan klasik dan elegan pada keseluruhan gaya.

Jika dahulu ia hanya dianggap aksesori tambahan, kini ramai mula memadankannya secara kreatif bersama busana raya untuk menyerlahkan penampilan yang lebih sofistikated.

Tidak hairanlah apabila pelbagai jenama pakaian raya turut memperkenalkan koleksi lengkap bersama selendang bahu.

Malah, ada juga yang menjualnya secara berasingan sebagai pelengkap gaya bagi memberi lebih pilihan kepada peminat fesyen.

Selendang bahu mampu menyerlahkan gaya yang lebih kemas, sopan dan elegan tanpa perlu aksesori yang berlebihan dengan padanan yang tepat. Berikut beberapa cara penggayaan yang boleh dicuba.

1. Gaya klasik di bahu

Gaya ini antara yang paling mudah digayakan kerana memberikan penampilan yang kemas dan elegan. Selendang tidak perlu dilipat terlalu kecil, sebaliknya biarkan ia terbuka lebar atau dilipat dua secara memanjang dengan lipatan yang longgar bagi menonjolkan tekstur kain.

Selepas itu, sangkutkan selendang di bahagian lipatan siku atau pada lengan bawah. Pastikan panjang hujung selendang di bahagian depan dan belakang adalah seimbang supaya ia kelihatan simetri serta tidak mudah melorot ketika bergerak.

2. Gaya santai di lengan

Bagi mereka yang inginkan penampilan lebih santai tetapi masih kemas, gaya ini boleh menjadi pilihan. Biarkan selendang terbuka lebar atau dilipat dua secara memanjang dengan longgar agar kehalusan fabrik dapat dilihat dengan jelas.

Kemudian sangkutkan selendang secara santai pada lipatan siku atau lengan bawah. Pastikan kedua-dua hujung selendang mempunyai ukuran yang sama panjang bagi memastikan ia kekal kemas dan tidak mudah jatuh ketika bergerak.

3. Gaya sangkut layang

Gaya ini memberi penampilan yang lebih moden dan sedikit dramatik pada busana. Biarkan selendang dalam keadaan terbuka luas tanpa dilipat kecil supaya corak pada kain dapat menutupi bahagian bahu dengan lebih sempurna.

Letakkan bahagian tengah selendang di atas kepala secara sementara untuk mengukur keseimbangan sebelum menurunkannya ke bahu. Selendang kemudian boleh disangkut pada satu bahu dengan satu hujung disilangkan ke bahu bertentangan, atau dibiarkan layang di kedua-dua bahu dari arah belakang bagi menghasilkan gaya yang lebih lembut.

4. Gaya selendang dayang

Gaya ini sering dikaitkan dengan sentuhan klasik dan tradisional. Selendang tidak perlu dilipat terlalu kecil, sebaliknya biarkan ia terbuka luas supaya keindahan corak dan tekstur kain dapat dilihat dengan jelas.

Letakkan bahagian tengah selendang secara santai di atas kepala seperti memakai kain kelubung. Kemudian biarkan kedua-dua hujung selendang jatuh secara semula jadi menutupi bahu dan mengalir ke bawah mengikut panjang busana.

Pastikan labuh di bahagian kiri dan kanan seimbang agar selendang kelihatan kemas dan tidak berat sebelah.

Tips memilih selendang bahu

Bagi memastikan padanan kelihatan seimbang, pemilihan material dan warna selendang juga memainkan peranan penting.

Antara pilihan material yang sering menjadi kegemaran ialah fabrik ringan seperti chiffon atau organza kerana ia mudah dibentuk dan memberi efek jatuhan yang cantik.

Selain itu, warna selendang juga sebaiknya dipadankan dengan tona pakaian agar penampilan kelihatan lebih harmoni dan elegan. –Muslimah

TAGGED: