Dalam institusi kekeluargaan, kesabaran sering diangkat sebagai tunjang utama yang mengukuhkan mahligai perkahwinan.
Namun, bagi seorang wanita yang telah menghambakan seluruh jiwa dan raganya selama 18 tahun, timbul persoalan di manakah titik noktah bagi kesabaran apabila maruah diri terus-menerus dipijak oleh insan yang bergelar suami?
Kisah tular di platform Threads oleh Adila (bukan nama sebenar) baru-baru ini bukan sekadar luahan perasaan biasa tetapi potret penderitaan seorang suri rumah yang terpaksa berdepan dengan pengkhianatan demi pengkhianatan sehingga akhirnya nekad memilih jalan perceraian demi menyelamatkan maruah yang masih ada.
Adila mendedahkan sikap suaminya yang seolah-olah ketagih menjalin hubungan sulit di alam maya.
Selama 18 tahun, dia terpaksa menyaksikan paparan profil media sosial suaminya bertukar-tukar wajah wanita lain seolah-olah kewujudannya sebagai isteri sah tidak lagi mempunyai sebarang nilai.
“Bukan sekali dua tetapi berkali-kali dia kantoi. Kesabaran saya sudah di tahap maksimum apabila dia sanggup meletakkan gambar wanita simpanannya sebagai profil utama sedangkan saya di rumah bertarung dengan urusan rumah tangga dan anak-anak,” katanya.
Adila turut mendedahkan menjadi mangsa layanan dingin oleh suaminya setiap kali timbul perbalahan.
Komunikasi yang sepatutnya menjadi jambatan kasih sayang berubah menjadi tembok konkrit yang memisahkan jiwa mereka.
Lebih menyedihkan apabila suaminya dikatakan mengabaikan nafkah zahir manakala urusan pakaian dan keperluan rumah tangga sering kali menjadi bebanan di bahunya semata-mata.
Konflik ini menjadi semakin rumit apabila melibatkan campur tangan keluarga mentua.
Dia mendakwa ibu mentuanya lebih cenderung membela kesalahan anak lelaki sendiri.
“Ibu mentua tahu segala-galanya tetapi dia memilih untuk menyalahkan saya. Malah, saya dihina di depan anak-anak.
“Kata-katanya cukup tajam, seolah-olah saya tiada harga diri,” luahnya.
Biarpun suaminya kini merayu dan menangis selepas permohonan perceraian dikemukakan, pintu hatinya sudah tertutup rapat. Dia memilih untuk tidak lagi menoleh ke belakang.
“Dahulu saya bertahan demi anak-anak tetapi kini saya sedar, anak-anak lebih memerlukan seorang ibu yang bahagia dan dihormati.
“Saya reda jika ini pengakhirannya. Cukuplah 18 tahun saya ‘makan hati’,” katanya.-Muslimah