10 amalan mudah rebut malam Lailatulqadar

Kehadiran sepuluh malam terakhir Ramadan sentiasa dinantikan dengan penuh debar dan harapan. 

Di sebalik kesibukan menguruskan persiapan Aidilfitri, daripada bau biskut raya yang harum semerbak hinggalah urusan mengemas rumah, jangan sampai terlepas malam Lailatulqadar.

Bagi memburu malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini, tidak semestinya harus berkampung di masjid sepanjang waktu.

Berikut adalah 10 amalan mudah yang boleh diamalkan wanita untuk memastikan peluang keemasan ini tidak berlalu pergi begitu sahaja.

Niat yang jelas dan fokus

Segalanya bermula dengan niat. Sebelum matahari terbenam, pasang azam di dalam hati: “Ya Allah, malam ini aku ingin beribadah mencari reda-Mu.” Niat yang tulus sudah dikira sebagai satu titik kebaikan di sisi-Nya.

Menjaga solat fardu dan berjemaah

Bagi yang suci daripada hadas, pastikan solat fardu tidak tertangguh. Jika berpeluang, laksanakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah (walaupun bersama ahli keluarga di rumah). 

Basahkan lidah dengan zikir khusus

Ini adalah senjata paling ampuh bagi wanita yang sedang dalam fasa ‘cuti’ ibadah.

“Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni”

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku.

Sedekah walau seringgit

Usahakan bersedekah setiap malam dalam 10 malam terakhir. Tidak perlu jumlah yang besar, sekadar RM1 atau RM5 melalui aplikasi perbankan dalam talian sudah memadai. 

Khidmat bakti sebagai ibadah

Menyediakan sahur untuk suami dan anak-anak atau membantu ibu bapa di dapur bukan sekadar rutin harian. Jika dilakukan dengan ikhlas untuk memudahkan orang lain beribadah, setiap peluh dan penat lelah itu dicatat sebagai pahala besar di sisi Allah.

Membaca atau mendengar Al-Quran

Bagi yang tidak boleh memegang mushaf, anda masih boleh membaca surah-surah lazim yang dihafal atau mendengar alunan ayat suci melalui telefon pintar. 

Tadabbur (memahami makna) walaupun satu ayat boleh menyentuh jiwa dan mendekatkan diri kepada Pencipta.

Menjaga lisan dan akhlak

Lailatulqadar adalah penyucian jiwa. Elakkan mengumpat, mengeluh berlebihan tentang persiapan raya atau bertengkar kecil dengan pasangan. 

Muhasabah diri 

Ambil masa 10 hingga 15 minit sebelum tidur untuk duduk bersendirian dalam gelap. Kenang kembali kesilapan lalu dan mohon keampunan dengan setulus hati. 

Memperbanyakkan doa peribadi

Jangan hanya fokus pada doa yang dihafal. Berbicaralah dengan Allah dalam bahasa yang paling anda fahami. Luahkan segala impian, kerisauan dan hajat untuk keluarga. Allah Maha Mendengar rintihan hamba-Nya yang bersungguh-sungguh.

Tidur dengan niat ibadah

Jika kepenatan melanda, tidurlah lebih awal dengan niat untuk bangun bersahur dan beribadah. Tidur seorang mukmin yang bertujuan untuk mengumpul tenaga bagi ketaatan juga dikira sebagai satu bentuk ibadah.-Muslimah