Wanita dakwa dipinggirkan dalam kerjaya kerana berhijab

Isu hijab di tempat kerja mungkin kedengaran seperti perbincangan lama, namun realitinya ia masih menghantui ramai Muslimah yang melangkah ke dunia korporat hari ini.

Di sebalik slogan keterangkuman dan kepelbagaian, wujud diskriminasi yang tidak dilafazkan namun tetap dirasai.

Menurut seorang eksekutif kanan di sebuah syarikat korporat yang hanya ingin dikenali sebagai Farisya, peluang profesionalnya sering terbatas hanya kerana mengenakan hijab.

Kata Farisya, diskriminasi tidak berlaku secara kasar, tetapi dalam bentuk tindakan halus yang mengguris emosi dan profesionalisme.

Dia mendakwa rakan setugas yang berpakaian moden dan berimej ‘barat’ lebih kerap diberikan peluang mengendalikan projek-projek besar serta bertemu pelanggan berprofil tinggi. Sedangkan dirinya, walaupun berkelayakan, lebih banyak ditempatkan di belakang tabir.

Fenomena ini, katanya, turut terserlah ketika proses kenaikan pangkat dan penugasan antarabangsa.

Wanita berhijab sering diketepikan atas alasan tidak sesuai dengan imej global syarikat yang nyata diskriminasi dalam senyap.

Menurut Farisya, tanggapan mengenai wanita bertudung bersifat pasif adalah momokan yang perlu dihentikan segera.

Muslimah juga boleh maju ke depan dalam kerjaya profesional sekiranya diberikan peluang selayaknya.

Hijab bukan penghalang untuk melakukan banyak perkara, selagi tidak melebihi batas agama.

“Ada kalanya, kita perlu bekerja dua kali lebih keras hanya untuk membuktikan kita setaraf dengan mereka,” katanya kepada Muslimah.

Ada juga Muslimah yang menyuarakan pilihan untuk mengenakan hijab sering mengundang banyak persoalan daripada pihak atasan yang seolah-olah takut hijab akan ‘membataskan’ kebolehan wanita.

Stereotaip ini sering berakar umbi dalam sektor yang mementingkan imej global dan moden seperti industri perhotelan antarabangsa, penerbangan atau firma guaman tertentu yang masih terikat dengan kod etika berpakaian beracuankan era kolonial.

Hakikatnya, kebolehan seseorang wanita untuk menguruskan projek bernilai jutaan ringgit, membuat keputusan strategik atau memimpin pasukan tidak terletak pada gaya rambutnya, tetapi pada ketajaman minda, pengalaman dan integriti yang dibawa.

Selaras dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan ihsan dan saling menghormati, dunia korporat seharusnya bergerak ke arah yang lebih inklusif.

Menghormati hak wanita untuk berhijab bukan bermakna menurunkan standard profesional, sebaliknya mencerminkan kematangan sesebuah organisasi dalam menghargai kepelbagaian bakat.

Hijab dan kerjaya seharusnya bergerak seiring.

Apabila majikan mula melihat keupayaan tanpa prejudis, barulah ruang sebenar terbuka untuk melahirkan lebih ramai tokoh wanita yang bukan sahaja berjaya dalam kerjaya, tetapi juga teguh mempertahankan prinsip hidup mereka.-Muslimah