Wanita yang belum berkahwin sering dianggap lebih ‘bebas’ dan diberikan lebih banyak tanggungjawab, sama ada dalam keluarga, tempat kerja atau aktiviti kemasyarakatan.
Sedangkan dalam Islam, nilai seorang wanita tidak pernah diukur berdasarkan perkahwinan semata-mata.
Pendakwah wanita dan keluarga, Ustazah Asmak Husin berkata, seorang wanita tetap mempunyai peranan dan tanggungjawab sebagai anak, ahli keluarga dan hamba Allah.
“Selalunya alasan yang digunakan ialah kerana mereka masih bujang, jadi boleh balik lewat atau memikul lebih tanggungjawab. Sedangkan dari segi emosi, mereka juga ada had.
“Allah hanya pandang ketakwaan dan sejauh mana kita melaksanakan peranan sebagai khalifah di muka bumi,” katanya kepada Muslimah.

Bergelut dengan diri sendiri
Fenomena tekanan emosi dalam kalangan wanita yang berkahwin lambat kini semakin ketara apabila nilai diri sering dikaitkan dengan status perkahwinan.
Tambah Ustazah Asmak, pengalaman turun padang bersama masyarakat dan hasil kajian menunjukkan wanita yang berkahwin lambat sering berdepan tekanan emosi akibat stigma sosial.
“Antara yang sering dialami ialah rasa sunyi, kecewa dan tertekan apabila dibandingkan dengan rakan sebaya yang sudah berkeluarga,” katanya.
Tambahnya, perasaan sunyi biasanya muncul apabila wanita melihat rakan-rakan seusia mempunyai pasangan, anak dan keluarga sendiri.
Keadaan ini menjadi lebih terasa ketika musim perayaan atau majlis kekeluargaan.
Bahkan, ada juga wanita yang memilih untuk tidak menghadiri majlis perkahwinan atau akikah kerana sukar mengawal emosi sendiri, bukan kerana cemburu semata-mata, tetapi kerana hati yang mereka yang letih.
Urus emosi
Jika belum ditakdirkan berkahwin, wanita disaran memperbanyakkan ‘ladang pahala’ lain seperti berbakti kepada ibu bapa, menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan membangunkan diri dengan sebaiknya.
Setiap wanita, sama ada berkahwin atau tidak, mempunyai cabaran emosi tersendiri. Bezanya cara emosi itu difahami dan diurus.
Kata Ustazah Asmak, sokongan sosial terutama penglibatan aktiviti masyarakat atau kumpulan sokongan positif memberi ruang meluahkan perasaan dan mengurangkan tekanan.
“Kita tidak boleh mengawal kata-kata orang atau stigma masyarakat. Tetapi kita boleh mengawal bagaimana kita menjaga emosi, mental dan hubungan dengan Allah,” katanya.
Peranan keluarga juga membantu wanita melalui fasa ini. Pendekatan yang lebih empati, memahami perbezaan generasi dan mengelakkan tekanan berlebihan mampu memberi kesan besar terhadap kesejahteraan emosi.
“Setiap wanita ada perjalanan hidup yang berbeza. Bahagia bukan hidup tanpa ujian, tetapi menerima takdir Allah dan menguruskannya dengan cara terbaik,” katanya. –Muslimah