Sepanjang tempoh berpuasa, tubuh mungkin terasa letih dan mengantuk, apatah lagi bagi wanita yang mengurus rumah tangga, anak-anak serta kerjaya dalam satu masa.
Justeru, ada yang menghabiskan sebahagian besar waktu siang pada hari cuti untuk tidur bagi merehatkan tubuh.
Persoalannya, adakah banyak tidur ketika berpuasa dibolehkan atau pun mungkin mengurangkan pahala?
Ketua Pegawai Eksekutif Harapan Hati Malaysia, Dr. Nur Fatin Halil berkata, tidur tidak membatalkan puasa dan dalam keadaan tertentu, ia boleh menjadi ibadah jika disertai niat yang betul.
Seseorang yang tidur hampir sepanjang hari dan hanya bangun menjelang waktu berbuka, puasanya tetap sah selagi tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa.
Begitupun, kebanyakan ulama berpandangan terlalu banyak tidur ketika berpuasa adalah makruh.
“Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi peluang untuk memperbanyakkan ibadah serta memperbaiki diri,” katanya kepada Muslimah.
Walaupun hukumnya makruh jika berlebihan, Islam tidak melarang rehat yang diperlukan oleh tubuh.
Kata Dr. Nur Fatin, tidur juga boleh menjadi ibadah sekiranya disertai niat yang betul.
Contohnya, seseorang berniat tidur untuk merehatkan badan agar lebih bertenaga menunaikan solat malam atau membaca al-Quran.
Perbuatan harian seperti tidur, makan dan bekerja juga boleh menjadi sumber pahala jika berbekalkan niat kerana Allah SWT.
“Dalam keadaan tertentu, tidur juga lebih baik daripada berjaga jika seseorang cenderung melakukan perkara sia-sia atau berdosa,” katanya.
Namun, beliau mengingatkan agar membezakan antara tidur biasa dengan keadaan koma atau pengsan sepanjang hari sehingga langsung tidak sedar, kerana keadaan tersebut mempunyai perincian hukum yang berbeza.
Tambahan pula, apabila seseorang menghabiskan sebahagian besar waktu siang dengan tidur tanpa keperluan, dia sebenarnya melepaskan peluang untuk memanfaatkan keistimewaan dan keberkatan Ramadan yang hadir hanya sekali dalam setahun.
Antara adab berpuasa ialah memperbanyakkan bacaan al-Quran, berzikir, berdoa serta menunaikan solat sunat.
Apatalah lagi, Ramadan merupakan bulan ganjaran berlipat kali ganda dan setiap detik sangat berharga.
Apabila waktu siang banyak dihabiskan dengan tidur, peluang untuk menambah amal menjadi semakin sedikit.
Selain itu, puasa juga bertujuan mendidik diri supaya merasai lapar dan dahaga sebagai latihan menahan hawa nafsu.
Jika seseorang lebih banyak tidur, kesan didikan rohani itu tidak benar-benar dirasai.
“Tidur yang berlebihan mengurangkan kesan tarbiah puasa terhadap hati dan jiwa,” katanya.
Kesimpulannya, banyak tidur ketika berpuasa tidak membatalkan puasa, tetapi ia boleh menyebabkan seseorang kerugian daripada sudut pahala dan keberkatan jika berlebihan.
“Ramadan datang setahun sekali. Rehat itu perlu, tetapi jangan sampai menghilangkan roh dan tujuan sebenar puasa,” katanya.
Setiap detik di bulan mulia ini boleh menjadi ladang pahala bergantung kepada niat dan kaedah untuk mengisinya.-Muslimah