Terapi Bali dengan AI tingkatkan tenaga dalaman

Wanita moden bukan sahaja mencari rawatan yang memanjakan tubuh, tetapi turut memulihkan minda dan sistem dalaman secara menyeluruh.

Rawatan yang menyentuh aspek kesejahteraan fizikal dan emosi menjadi terapi yang mampu memberi kesan penyembuhan lebih mendalam berbanding urutan konvensional.

Konsep inilah yang dibawa oleh Aluna Signature yang menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan terapi tradisi Bali bagi menghasilkan pengalaman rawatan holistik yang unik dan memuaskan.

Pengerusi Aluna Group, Ayu Zaimah berkata, kecantikan sebenar tidak hanya bergantung pada penampilan luaran, tetapi merangkumi keseimbangan tubuh, minda dan emosi.

Gabungan AI dan terapi tradisi membolehkan setiap pelanggan menikmati rawatan yang dirangka secara menyeluruh dan lebih peribadi.

“Pendekatan ini bukan sahaja melegakan ketegangan fizikal, tetapi turut menenangkan fikiran serta meningkatkan tenaga dalaman.

“Ia menjadikan setiap sesi rawatan lebih daripada sekadar ritual kecantikan. Ia perjalanan kesejahteraan yang lengkap dan memuaskan,” katanya.

Ketepatan rawatan

Pengalaman pemulihan tubuh dibawa ke tahap baharu dengan kehadiran EMMA iaitu mesin AI generasi terkini yang yang menganalisis ketegangan otot, postur tubuh dan titik tekanan dengan ketepatan tinggi.

Teknologi itu bukan sekadar alat tambahan, tetapi sistem yang menyokong ahli terapi untuk merangka rawatan lebih bersasar dan berkesan.

Pengasas Bersama Aluna Signature, Zulfirdaus Zulkafli berkata, Emma dibangunkan melalui kolaborasi antara Nanyang Technological University, Singapore General Hospital dan Mayo Clinic di Amerika Syarikat.

Mesin ini menyediakan laporan imbasan yang membantu ahli terapi memahami keperluan tubuh pelanggan sebelum rawatan bermula.

“Dengan EMMA, kita tidak lagi meneka-neka. Laporan imbasan memberi gambaran jelas tentang kawasan bermasalah, sama seperti ketepatan X-ray tetapi tanpa radiasi.

“Ini membolehkan ahli terapi fokus pada punca sebenar ketegangan atau sakit,” katanya.

Selain memberikan ketepatan saintifik, teknologi ini turut menjadikan setiap sesi lebih konsisten, teratur dan berkesan.

Begitupun, EMMA tidak menggantikan sentuhan manusia yang halus dan personal, sebaliknya hanya melengkapkan proses rawatan.

Sentuhan tradisi 

Selain teknologi moden, Aluna Signature memperkenalkan rawatan eksklusif yang diinspirasikan daripada ritual penyembuhan istana Bali, Royal Bali Treatment.

Gabungan teknik urutan tradisional, minyak herba eksklusif dan ramuan purba yang diformulasi semula untuk keperluan masyarakat moden memberi pengalaman menyeluruh kepada tubuh dan jiwa.

Kata Ayu Zaimah, terapi Bali memberi sentuhan emosi dan spiritual, sementara EMMA memberikan ketepatan saintifik.

Apabila digabungkan, ia menghasilkan penyembuhan dua dimensi lembut pada emosi dan tepat pada tubuh.

Rawatan ini menekankan keseimbangan tenaga, membantu tubuh melepaskan ketegangan, meningkatkan peredaran darah selain menenangkan minda.

Ia sesuai untuk pelanggan yang mencari pengalaman pemulihan mendalam.

Setiap urutan mampu mengimbangi tenaga dalaman.

Rawatan air garam

Pusat kecantikan ini turut menyediakan rawatan kapsul hidroterapi yang mensimulasikan keadaan terapung dalam air garam untuk mengurangkan tekanan graviti, meredakan ketegangan otot serta memberi rasa ringan dan nyaman pada tubuh.

Terapi ini juga dikatakan mampu menenangkan sistem saraf, meningkatkan fokus mental serta membantu tubuh serta minda melepaskan tekanan yang terkumpul akibat gaya hidup moden.

Selain itu, rawatan mandian ais turut disediakan untuk membantu pemulihan otot, merangsang peredaran darah dan meningkatkan kesegaran mental.

Zulfirdaus Zulkafli berkata, pemulihan terbaik berlaku apabila rawatan berakar pada warisan tradisi tetapi diperkemas dengan inovasi saintifik.

AI bukan menggantikan ahli terapi, tetapi melengkapkan rawatan agar hasil ebih konsisten dan fokus pada keperluan sebenar tubuh.-Muslimah