Telekung bukan syarat sah solat, hanya budaya

Penampilan Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang hanya mengenakan jubah semasa menunaikan solat semasa menghadiri satu majlis berbuka puasa baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Menerusi satu hantaran yang tular, ramai yang mempersoalkan sama ada solat tanpa telekung seperti itu dikira sah.

Tampil memberi penjelasan,  Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim berkata, solat Biduanita negara itu adalah sah kerana telekung bukanlah satu rukun atau syarat sah solat dalam Islam.

“Beliau telah menutup aurat untuk solat. Telekung bukan rukun atau syarat sah solat tetapi hanyalah budaya,” tulisnya di laman Instagram.

Mohd. Izhar Ariff berkata telekung bukan rukun atau syarat sah solat dalam Islam.

Syarat sah solat bagi wanita adalah menutup seluruh anggota badan kecuali wajah dan kedua tapak tangan. 

Selagi pakaian yang dikenakan longgar, tidak jarang (lut sinar) dan menutup aurat dengan sempurna, maka solat tersebut diterima di sisi syarak.

Tambahnya, berdasarkan pandangan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ bagi mazhab Syafie, definisi wajah bermula dari tempat tumbuh rambut kepala hingga ke bawah dagu dan dari telinga ke telinga.

“Secara teknikalnya, bahagian luar dagu adalah termasuk dalam kategori muka (tidak wajib ditutup).

 “Bahagian bawah dagu yang nampak kawasan leher pula dikira sebagai aurat yang wajib ditutup bagi wanita.

“Bagaimanapun, perkara ini tetap menjadi khilaf (perbezaan pendapat) dalam kalangan ulama,” katanya.-Muslimah