Dunia Cosplay sering dikaitkan dengan rambut palsu yang berwarna-warni dan kostum yang kompleks.
Namun, bagi Farah Nasrin Zulkifli yang memulakan langkahnya seawal usia 15 tahun, cabarannya bukan sekadar mencari kostum yang tepat tetapi mengekalkan identiti sebagai seorang muslimah dalam hobi yang serba unik ini.
Menurut Farah, minat terhadap bidang Cosplay bermula daripada paparan gambar dan video di Instagram.
Kekagumannya terhadap Cosplayer berhijab menggayakan watak kegemaran mereka menimbulkan rasa minat berjinak dalam bidang itu.
“Saya mula berkecimpung dalam bidang Cosplay semenjak umur 15 tahun lagi,” katanya kepada Muslimah.
Wanita berusia 25 tahun ini sanggup menabung duit sekolah semata-mata untuk merealisasikan impian berpakaian seperti watak Anime kegemarannya di awal pembabitannya dahulu.
“Pada awalnya, kekangan kewangan menyebabkan saya rasa terbeban setiap kali ingin memperagakan model Anime tertentu.
“Disebabkan itu, saya hanya bermula dengan lilitan tudung biasa sahaja yang menyebabkan sisi gaya kreatif Anime saya kurang menyerlah.
“Jadi, saya mengambil keputusan untuk mula menabung wang sekolah supaya saya mempunyai dana yang mencukupi untuk membeli peralatan dan pakaian yang lebih sesuai,” katanya.
Walaupun tidak mempunyai ikon khusus bagi kategori Cosplay berhijab, Farah banyak mencontohi model Cosplay dari Korea dan China terutamanya figura yang dikenali sebagai Azey.
Menurutnya, ketelitian mereka dalam solekan model Cosplay menjadi pembakar semangat dan dorongan untuk dirinya agar lebih maju pada masa akan datang.
“Saya banyak dapatkan inspirasi dan belajar teknik solekan daripada aplikasi XHS (Rednote).
“Aplikasi ini sangat membantu saya untuk perbaiki kemahiran mekap supaya nampak lebih sesuai dengan karakter yang akan dibawa,” jelasnya.
Modest is Trendy
Berkongsi mengenai cabaran terbesar sebagai Cosplayer berhijab, anak jati kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, cabaran utama yang apabila watak yang diminati mempunyai rekaan baju yang terlalu mendedahkan aurat.
“Sebenarnya, agak mencabar kerana kebanyakan model Anime agak seksi dan berpakaian terbuka. Namun, hijab bukan penghalang.
“Bagi saya, minat mengatasi segala-galanya. Kalau sudah minat, saya pasti akan cuba berusaha sebaik mungkin untuk mengubah suai kostum supaya menjadi lebih sopan dan mematuhi syariah.
“Matlamat utama saya untuk menjadikannya lebih sopan dan menutup aurat tanpa menghilangkan identiti watak itu,” tambahnya.
Tepis stereotaip dengan keyakinan
Menetap di Pantai Timur memberi cabaran tersendiri buat wanita ini.
Berbeza dengan komuniti di Kuala Lumpur atau Selangor yang lebih terbuka dengan hobi itu, dia mengakui sering menjadi perhatian di negeri kelahirannya.
“Ada yang menyindir dan memanggil saya dengan panggilan Spiderman atau Ultraman walaupun baju yang saya pakai tidak ada kena-mengena langsung dengan mereka.
“Tetapi saya tidak ambil hati. Asalkan saya nampak cantik dalam kostum itu, saya teruskan sahaja,” katanya santai.
Farah juga tegas dengan prinsipnya dalam memilih watak. Dia akan mengelakkan karakter yang berpakaian menyerupai pakaian agama lain.
“Saya tidak akan sesekali memakai pakaian yang menyerupai watak agama lain seperti biarawati (nun) atau baju kuil (shrine maiden) demi menjaga sensitiviti.
“Saya faham akan batas agama dan berusaha sehabis baik untuk menjaga pegangan agama saya,” katanya.
Masa depan hijab Cosplay
Melihat kepada perkembangan zaman, dia yakin komuniti Cosplay berhijab akan terus berkembang pada masa akan datang.
“Kewujudan platform seperti TikTok akan sangat membantu bakat-bakat muda untuk menjadi lebih kreatif.
Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu juga memberi pesanan untuk peminat Cosplay yang memakai hijab agar jangan takut dengan komen masyarakat dan cuba keluar dari zon selesa.
“Semua orang bermula dari bawah. Tidak perlu sempurna pada cubaan pertama, apa yang paling penting kena berani mencuba.
“Kalau malu di khalayak ramai, cuba ‘ber-Cosplay’ di rumah dahulu. Pilih watak sekolah atau pejabat yang hanya memerlukan pakaian biasa,” katanya.
Dunia hijab Cosplay bukan sekadar tentang kostum tetapi ekspresi diri, kreativiti dan keberanian untuk menjadi diri sendiri di tengah-tengah norma masyarakat.
Farah Nasrin menjadi bukti hijab bukanlah satu batasan melainkan kanvas kreativiti yang tiada batas. –Muslimah