Suami nampak alim tetapi abai nafkah zahir dan batin

Rumah tangga sepatutnya menjadi syurga buat isteri, tempat untuk berteduh dan rasa selamat. 

Namun, bagi seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Zara (bukan nama sebenar), tujuh tahun perkahwinannya bukanlah sebuah naskhah indah, melainkan satu tempoh yang penuh dengan pengorbanan tidak dihargai dan penderaan mental cukup mendalam.

Di mata orang luar, suaminya kelihatan seperti bapa dan menantu misali namun realitinya sangat menyakitkan.

Selepas tujuh tahun mendiamkan diri demi menjaga aib keluarga, Zara akhirnya tampil menceritakan derita yang ditanggung kerana suami mengabaikan nafkah dan manipulasi emosi sehingga menyebabkan dia kini disahkan menghidap empat jenis gangguan mental serta asma kronik.

Melalui perkongsian di Threads, kata Zara, suaminya sering dipandang tinggi oleh keluarga mentua kerana perwatakannya yang lemah lembut. 

Bagaimanapun, katanya, imej tersebut hanyalah lakonan semata-mata. 

Zara meluahkan rasa terkilan dengan sikap suaminya yang enggan menerima hakikat tentang kesihatan mentalnya.

Pendedahan yang paling meruntun jiwa adalah apabila Zara mendakwa tidak pernah menerima nafkah untuk keperluan peribadi. 

Malah, permintaannya untuk membeli barangan asas tidak diendahkan selama berbulan-bulan. 

“Pernah dua bulan minta belikan deodoran dan ubat titik mata tetapi tidak pernah dibelikan,” katanya.

Keadaan itu memaksa bdia kembali bekerja tahun lalu namun suaminya pula tanpa segan silu meminta dibelikan barangan hobi yang mahal. 

Selain isu kewangan, Zara turut mendakwa menjadi mangsa manipulasi psikologi. 

Menurutnya, suami sering menuntut rasa syukur daripadanya hanya kerana dia tidak melakukan kekerasan fizikal.

Malah, dia turut meluahkan rasa lelah dengan sikap suaminya yang hanya pandai menabur janji.

Zara juga pernah terpaksa menggadaikan barangan kemas miliknya demi kelangsungan hidup keluarga. 

“Terpaksa gadai cincin termasuk cincin kahwin, dua utas gelang tangan dan dua utas rantai sepanjang tujuh tahun dengan dia sebab nak bantu kewangan dia,” kongsinya. 

Meskipun telah memberikan segalanya, pengorbanan tersebut seolah-olah tidak dihargai apabila si suami terus selesa dengan sikap culasnya sambil mengharapkan ihsan isteri untuk menguruskan segala-galanya.

Kisah ini menjadi peringatan keras tentang bahayanya penderaan emosi yang sering tidak dipandang serius. 

Zara kini nekad untuk berundur daripada perkahwinan toksik tersebut demi kesejahteraan mental dan jiwanya. – Muslimah