“Setiap kali nak telefon baru sedar suami dah tiada..”

Kehilangan pasangan hidup bukan sekadar kehilangan seseorang untuk berkongsi cerita, tetapi hilangnya tempat bergantung, tempat bertanya dan tempat meluah segala rasa.

Itulah yang dilalui oleh Syafira Al Basir, yang baru-baru ini berkongsi realiti kehidupannya selepas pemergian suami tercinta di media sosial.

Perkongsian wanita ini begitu menyentuh hati, terutama apabila menceritakan detik yang benar-benar meruntun jiwanya, hanya dua minggu selepas suaminya meninggal dunia.

Ketika itu, beliau dalam perjalanan menguruskan hal ke hospital. Sewaktu berhenti mengisi minyak, keretanya tiba-tiba tidak dapat dihidupkan. 

Dalam keadaan cemas dan panik, tangannya spontan mencapai telefon.

Namun sebaik skrin dibuka, hatinya terasa kosong.

“Dalam hati meraung sebab selalu akan hubungi dia. Tetapi kali ini, bila pegang telefon jadi kaku. Rasa dunia kosong sebab baru tersedar suami sudah meninggal,” katanya.

Selama hampir 10 tahun melayari bahtera perkahwinan, segala urusan kecil dan besar dilakukan bersama. Dari perkara remeh sehinggalah keputusan penting, semuanya dikongsi berdua.

Malah, mereka punya pelbagai rancangan masa depan.

“Banyak betul rancangan kami. Namun Allah juga merancang dan sebaik-baik perancangan adalah ketentuan-Nya,” luahnya reda.

Namun takdir mengatasi segala perancangan. Impian yang disusun bersama kini tinggal kenangan.

Perkara-perkara kecil yang dahulu dilakukan berdua kini terasa begitu berat untuk digalas sendirian. Bahkan, momen yang mungkin dianggap remeh oleh orang lain juga mampu mencetuskan gelombang rindu yang sukar dibendung.

Suatu ketika, cermin matanya dirosakkan oleh anak. Dalam hati, terdetik untuk menghantar pesanan kepada suami untuk mengajaknya menukar bingkai di kedai yang sama seperti dahulu.

“Tetapi Ya Allah… sekali lagi saya leka, suami sudah meninggal dunia. Sekecil-kecil perkara pun saya selalu beritahu dia.”

Anak sulungnya yang melihat air mata ibunya mengalir menyangka dia menangis kerana cermin mata yang rosak. 

Hakikatnya, yang pecah bukan sekadar bingkai tetapi hati yang masih belum benar-benar sembuh daripada kehilangan.

Menurutnya, rutin harian tetap diteruskan seperti biasa. Dia tetap bangun, mengurus anak-anak dan menyelesaikan tanggungjawab. Namun apabila bersendirian, rasa kosong itu datang menyapa tanpa diundang.

“Masih ada keinginan untuk bercerita, mengeluh dan bertanya hal-hal kecil hingga perkara besar, tetapi semuanya kini hanya terpendam kerana orang yang selalu menjadi tempat meluah rasa dan menjawab pertanyaan sudah tiada lagi,”luahnya.

Begitulah realiti seorang isteri yang kehilangan pasangan hidup. Kesedihan itu bukan sekadar pada hari pengebumian, tetapi hadir dalam detik-detik kecil yang tidak pernah disangka.-Muslimah