Selepas 13 tahun menanti zuriat, rahim Amira terpaksa dibuang

Bertahun-tahun Amira Azhana Hassan melalui rawatan dan doa dengan dengan harapan mahu bergelar ibu. 

Namun, takdir mempertemukannya dengan ujian yang lebih besar apabila disahkan menghidap kanser rahim, sekali gus menamatkan peluang untuk hamil secara semula jadi.

Ketika menerima diagnosis itu, Amira sedang berada dalam fasa paling rapuh selepas beberapa kali keguguran. 

Pembuangan rahim menjadi pilihan paling selamat demi menyelamatkan nyawanya walaupun keputusan itu sukar diterima oleh mana-mana wanita.

Sebelum disahkan menghidap kanser rahim, Amira sempat melalui tiga kehamilan. 

Kehamilan pertama selepas tiga kitaran rawatan kesuburan, namun kandungan tidak bertahan lama. Kehamilan kedua juga berakhir dengan keguguran.

Keguguran ketiga pada April 2024 membawa kepada pemeriksaan lanjut yang akhirnya mendedahkan masalah serius pada rahimnya.

“Walaupun saya pernah hamil, kandungan tidak dapat bertahan lama. Jadi, waktu itu barulah saya tahu semuanya berkait dengan keadaan rahim saya,” katanya kepada Muslimah.

Amira bersama suami yang sentiasa menyokongnya.

Selepas diagnosis, doktor menjelaskan pembuangan rahim adalah pilihan rawatan paling selamat. Perancangan awal untuk menjalani rawatan bayi tabung uji (IVF) terpaksa dibatalkan kerana risiko penyebaran kanser.

“Pada awalnya, doktor merancang saya menjalani bayi tabung uji (IVF), Namun pemeriksaan lanjut menunjukan keadaan kanser tidak mengizinkan prosedur dilakukan.

“Atas faktor keselamatan dan risiko penyebaran kanser, saya terpaksa menerima kenyataan bahawa rahim saya perlu dibuang,” katanya.

Sokongan suami

Menerima kenyataan tersebut bukan perkara mudah. Amira mengakui ada waktu-waktu tertentu dia gagal menahan kesedihan, namun memilih untuk tidak membiarkan emosi itu berpanjangan.

“Saya percaya dengan apa sahaja yang berlaku pasti ada hikmah, walaupun ia bukan sesuatu yang saya inginkan,” katanya.

Selepas pembedahan, Amira masih menjalani rawatan susulan dan berada dalam tempoh pemantauan. Status bebas kanser hanya boleh disahkan selepas 10 tahun.

Buat masa ini, Amira belum bersedia untuk mengambil anak angkat kerana masih memberi keutamaan kepada pemulihan kesihatan.

“Buat masa sekarang, hidup saya terasa lengkap dengan menjaga anak-anak saudara. Empat adik-beradik saya ada anak kecil dan mereka selalu datang bermain di rumah,” katanya.

Selain kesihatan, Amira turut berdepan cabaran emosi apabila rahim tidak boleh digantikan seperti organ lain. 

Kehilangan itu memberi kesan mendalam terhadap identiti dirinya sebagai wanita dan isteri.

“Bagi saya dugaan paling berat apabila memikirkan yang saya lagi mampu memberikan zuriat kepada suami. Itu luka paling berat untuk saya sebagai isteri,” katanya.

Cabaran turut datang daripada persepsi masyarakat. Soalan sensitif dan sindiran daripada individu terdekat sering kali lebih mengguris berbanding komen orang luar.

“Dalam situasi begitu, saya hanya mampu reda sahaja terima walaupun pahit,” katanya.

Dalam tempoh sukar itu, suaminya, Yusyairi Yunus, 37, menjadi sumber kekuatan utama. Sokongan yang diberikan kekal konsisten sejak hari pertama diagnosis.

“Suami saya selalu kata, kalau mahu menangis, menangislah, tetapi selepas itu saya perlu bangkit. Kami lalui semuanya bersama-sama,” katanya.

Amira menjalani pembedahan buang rahim dengan hati yang reda dengan takdirnya.

Menurut Yusyairi, keutamaan mereka kini bukan lagi soal anak, sebaliknya kesihatan dan kesejahteraan isteri.

Sejak ulang tahun perkawinan yang ke 13, pesan saya tetap sama iaitu rezeki bukan cuma hadir dalam bentuk anak dan nilai seorang wanita tidak berubah hanya kerana tidak mampu melahirkan zuriat.

“Sejak hari isteri saya disahkan kanser, saya tidak lagi memikirkan tentang anak. Sekarang, apa yang penting kini hanyalah kesihatan dan senyuman Amira,” katanya.

Bagi mengisi ruang dalam hidup, pasangan ini memilih untuk meluangkan masa bersama anak-anak saudara serta menikmati kehidupan berdua dengan lebih tenang.

Ramai anak online

Bagi menguatkan diri, wanita berusia 35 tahun ini berkongsi kisah perjuangannya mendapatkan zuriat di TikTok. 

Tanpa disangka, perkongsian itu mendapat perhatian ramai dan membuka ruang sokongan yang luas daripada masyarakat. Melalui ruangan komen, ramai meninggalkan doa dan kata semangat. 

Ada yang berkongsi pengalaman kehilangan ibu, tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu, atau membesar tanpa mengetahui keberadaan ibu kandung.

“Kali pertama saya membaca komen-komen itu, saya sangat tersentuh dan tidak dapat menahan sebak. Bagi saya, bukan mudah orang meluangkan masa memberi sokongan kepada seseorang yang tidak mereka kenali.

“Tetapi itulah rezeki yang tidak disangka pemberian-Nya. Walaupun saya tidak berpeluang menimang zuriat sendiri, ia digantikan dengan anak anak maya yang sangat baik dan rapat dengan saya,” katanya.

Sehingga kini, Amira masih berhubung dengan beberapa individu yang dikenalinya melalui platform tersebut. 

Hubungan yang terjalin dianggapnya sebagai satu bentuk kasih sayang yang bermakna dalam fasa hidup yang sukar.