Ramadan: Jaga lidah, jaga pahala

Ramai mampu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari, namun tidak semua berjaya menahan lidah daripada berkata sia-sia, bertengkar atau memaki hamun. 

Oleh itu, Ramadan hadir mengingatkan puasa yang benar-benar sempurna bukan hanya menahan perut, tetapi juga mengawal percakapan dan emosi.

Lidah merupakan antara anggota badan yang paling utama untuk dikawal ketika berpuasa. Kata-kata yang diucapkan boleh menjadi pahala, namun dalam masa yang sama mampu menghapuskan ganjaran puasa jika tidak dijaga dengan baik. 

Islam melarang umatnya daripada mengeluarkan kata-kata yang kotor, sia-sia, memfitnah atau menghina orang lain sama ada secara lisan mahupun di media sosial. 

Walaupun dilakukan secara dalam talian, kesannya tetap sama kerana tetap melibatkan dosa dan menyakiti hati orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, ‘Sesungguhnya aku berpuasa hari ini’.”- (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memberi peringatan puasa bukan sekadar ibadah fizikal, tetapi juga latihan mengawal emosi dan sabar.

Sekiranya seseorang dimaki hamun atau diajak bertengkar, disarankan untuk menahan diri dan mengingatkan dirinya  dia sedang berpuasa. 

Ungkapan “aku berpuasa” bukan sahaja sebagai peringatan kepada orang lain, tetapi lebih penting sebagai peringatan kepada diri sendiri agar tidak terjebak dalam perkara yang merosakkan pahala puasa.

Dalam suasana hari ini, cabaran menjaga lidah semakin besar apabila media sosial menjadi medium utama komunikasi. 

Komen sinis, sindiran tajam atau perkongsian yang mengaibkan orang lain boleh berlaku dalam sekelip mata. 

Ramadan sepatutnya menjadi medan latihan untuk kita lebih berhati-hati sebelum menaip dan berkongsi sesuatu.

Bagi mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan puasa, umat Islam digalakkan memperbanyak istighfar, berzikir dan berselawat. 

Amalan ini bukan sahaja menenangkan hati, malah membantu mengawal emosi dan menundukkan ego. 

Lidah yang sibuk dengan mengingati Allah SWT akan lebih sukar terjebak dengan kata-kata sia-sia.-Muslimah