Rahsia bau mulut harum menurut Islam

Sebagai wanita aktif, kita sering berdepan dengan situasi yang memerlukan berinteraksi jarak dekat dengan rakan sekerja atau pelanggan. 

Ada kalanya terdetik rasa rendah diri atau bimbang jika bau mulut akibat berpuasa mengganggu keselesaan orang lain. 

Ramadan bukan bermaksud perlu kelihatan kusam, tidak bermaya atau berbau. 

Sebaliknya, Islam menekankan kebersihan dan penampilan yang disenangi, selagi tidak melampaui batas atau membatalkan puasa.

Ada hadis tentang bau mulut orang yang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:“Demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.” 

Namun, perlu difahami secara mendalam ‘harum di sisi Allah’ itu merujuk kepada nilai pahala dan keredaan-Nya, bukannya bermaksud kita dibenarkan mengabaikan kebersihan sehingga mengganggu orang di sekeliling. 

Menjaga kebersihan mulut dengan bersugi atau memberus gigi sebelum waktu Zohor menurut sebahagian ulama atau sepanjang hari asalkan tidak tertelan air adalah tetap disunnahkan.

Antara ‘Iffah’ dan penjagaan diri

Bagi Muslimah, menjaga penampilan seperti menggunakan pelembap bibir agar tidak kering atau memakai wangian yang minima dan tidak mencolok hidung bagi mengelakkan bau badan sebahagian daripada pengurusan diri yang baik. 

Paling penting niat sama ada berhias untuk menarik perhatian lelaki ajnabi (tabarruj) atau sekadar untuk menjaga kesegaran diri agar kualiti kerja dan dakwah tidak terjejas.

Allah SWT sangat menyukai keindahan sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-A’raf, ayat 31 yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan janganlah kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Tip segar sepanjang hari

Pastikan pengambilan air kosong yang cukup ketika sahur bagi mengurangkan dehidrasi yang menjadi punca utama bau mulut. 

Gunakan pelembap bibir yang tidak mempunyai rasa yang kuat dan pastikan memakai pakaian daripada material yang menyerap peluh seperti kapas. 

Apabila diri terasa segar, emosi juga akan lebih stabil untuk menjalankan ibadah dengan tenang.

Menjadi Muslimah yang bertaqwa tidak bermaksud mengabaikan kualiti penampilan. 

Keyakinan diri yang lahir daripada kebersihan juga adalah sebahagian daripada iman.-Muslimah

TAGGED: