Bagi sesetengah orang, 10 sen mungkin tiada nilai. Namun bagi seorang ibu yang terhimpit kewangan, jumlah sekecil itu menjadi beban yang menyesakkan dada hingga membuatkan air mata gugur dalam diam.
Itulah realiti yang pernah dilalui Nur Fatihah Abdul Malik, 37, seorang ibu kepada 11 orang cahaya mata.
Di sebalik senyuman lembutnya, tersimpan kisah pengorbanan dan kesedihan yang jarang terluah.
Kehidupan sebagai ibu kepada keluarga besar bukanlah sesuatu yang mudah.
Setiap hari menjadi medan perjuangan yang menuntut tenaga dan kesabaran tanpa batas, apatah lagi enam daripada 11 anaknya masih bersekolah dan memerlukan perhatian serta pengurusan yang berterusan.
Suaminya bekerja sebagai pembantu am di Nabila Agrofarm, manakala Nur Fatihah sendiri membantu menambah pendapatan keluarga dengan bekerja separuh masa di tempat yang sama.
Namun, pendapatan yang diperoleh sering kali tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarga besar itu.
“Saya pernah menangis kerana anak ingin membeli sesuatu walaupun harga hanya 10 sen, tetapi saya tidak mampu. Bila kenang semula, memang mengalir air mata,” katanya yang menetap di Negeri Sembilan.
Sudah tentu ada saat-saat dia berasa letih menguruskan anak-anak yang masih bersekolah.
Namun, Nur Fatihah tidak pernah membiarkan keletihan itu bertukar menjadi keluhan panjang.
“Sudah tentu saya penat menjaga anak-anak yang masih bersekolah, tetapi saya tak boleh mengeluh. Alhamdulillah, sebelum ini hidup agak teruk tetapi kini lebih baik,” katanya.-Muslimah