Wanita lebih patuh peraturan jalan raya

“Patutlah terhegeh-hegeh, pemandu perempuan…”

Itu antara ayat yang sering didengar jika berlaku adegan-adegan tidak diingini di jalan raya.

Malah, mungkin ada antara kita sendiri yang pernah mengucapkan ayat ini tanpa sedar ketika memandu di jalan.

Sejak sekian lama terdapat persepsi terhadap pemandu wanita yang dikatakan tidak kompeten untuk memandu terutamanya di atas jalan raya.

Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Rozmi Ismail berkata, wanita sebenarnya secara biologinya dilahirkan dengan keupayaan motor halus.

Keupayaan itu membuatkan mereka lebih sesuai melakukan kerja-kerja yang memerlukan lebih ketelitian seperti menjahit dan sebagainya.

“Disebabkan itu golongan ini mempunyai keupayaan terhad mengendalikan kenderaan kerana memandu lebih kepada kemahiran motor kasar. Kemahiran motor kasar ini dimiliki oleh kaum lelaki.

“Kekangan inilah membuatkan wanita selalunya lebih berhati-hati ketika memandu kerana mereka takut sekiranya berlaku kesilapan sehingga membahayakan nyawa,” katanya.

Selain itu, sikap kurang berkeyakinan dalam diri wanita juga menjadi punca utama mereka teragak-agak ketika mengendalikan kenderaan terutamanya jika berada di jalan-jalan besar.

Tambah Rozmi, sikap tersebut yang membezakan antara pemandu wanita dan lelaki kerana kaum lelaki kebanyakan lebih berkeyakinan ketika pemanduan.

“Perkara biasa kita tengok pemandu wanita selalu buat adalah kadang-kadang mereka ragu-ragu hendak tukar lorong atau pun lampu isyarat masih hijau tetapi dah tekan brek dari jauh.

“Semua ini berkait dengan soal keyakinan dalam diri wanita. Mereka tidak berani ambil risiko dan memilih jalan selamat, sebab itu bila lelaki tengok perkara ini dia kata perempuan ‘lembab’,” ujarnya lagi.

Namun katanya, tidak semua wanita ‘lembab’ ketika memandu.

Daripada pemerhatian yang dilakukan, ada sekelompok wanita yang memandu dengan laju dan cekap seperti golongan lelaki.

“Apa yang saya lihat, golongan ini selalunya terdiri daripada wanita yang bekerjaya atau berpangkat eksekutif kerana mengejar masa dan perlu cepat dalam segala hal.

“Jadi, tidak adil jika kata semua pemandu wanita lembab dan tidak cekap sebab ada juga antara mereka ini bertaraf pemandu Formula One (F1),” katanya berseloroh.

Bagaimana pun, katanya, keupayaan memandu antara jantina tidak sepatutnya dijadikan isu atau bahan jenaka.

Katanya, tidak ada salahnya wanita memandu dengan cermat di atas jalan raya selagi tidak mengundang risiko kepada pemandu-pemandu lain.

“Baguslah mereka bawa perlahan kerana kalau terlalu laju pun tidak bagus dan hanya akan mengundang perkara buruk bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain.

“Wanita juga kebanyakan patuh kepada peraturan jalan raya berbanding lelaki kerana lelaki sikapnya terlalu yakin dan bersikap sambil lewa ketika pemanduan,” katanya.

Lelaki lebih banyak kemalangan

Biarpun tanggapan negatif sering dilemparkan terhadap pemandu wanita, namun nampaknya statistik kemalangan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebaliknya.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintenden Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, kebiasaannya pemandu lelaki yang terlibat dalam nahas jalan raya lebih tinggi berbanding wanita.

“Risiko ini juga dipengaruhi oleh pendedahan kaum lelaki di atas jalan raya kerana mereka merupakan ketua keluarga yang keluar bekerja setiap hari dan sering memandu,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan sikap pemanduan, Dr. Bakri menjelaskan kajian mendapati lelaki dan wanita mempunyai ciri berbeza yang mempengaruhi pemanduan mereka seperti persepsi keselamatan dan keselesaan dalam kereta sendiri.

“Semasa memandu, seorang wanita akan memikirkan beberapa perkara, tetapi memandangkan pemanduan memerlukan gandingan aksi dan reaksi, ada kalanya, sesetengah wanita akan melakukan kesilapan atau alpa apabila kurang tumpuan di jalan  raya.

“Namun, risiko kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina.

“Kurang tumpuan semasa memandu boleh mengundang padah kerana hanya dengan tiga saat tidak melihat pada cermin besar didepan sebenarnya sama seperti telah melepasi padang bola dengan kelajuan 90kilometer (km) sejam,” ulasnya.

Tambahnya, antara punca utama berlaku kemalangan  disebabkan sikap terlebih yakin sehingga memandu di luar kawalan serta secara berbahaya.

“Pemanduan memerlukan gandingan aksi dan reaksi dan dan seringkali juga terlebih yakin sehingga memandu di luar kawalan serta secara berbahaya selalu menyebabkan kemalangan selain daripada kesalahan memandu menggunakan telefon bimbit dan melebihi had laju.

“Selain itu, daripada 17 punca kemalangan jalan raya, terburu-buru atau terbabas sendiri merupakan antara yang paling kerap berlaku,” katanya lagi.

Justeru itu, JSPT mengingatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.-Muslimah