Aplikasi gaya hidup Islam popular, Muslim Pro hari ini melancarkan inisiatif terbaharu, Ramadan Re:Charge bagi membantu umat Islam mengekalkan momentum ibadah sepanjang bulan Ramadan dengan pendekatan lebih realistik.
Inisiatif itu dirancang khusus untuk menangani realiti harian pengguna yang sering berdepan cabaran untuk mengekalkan semangat ibadah apabila mula keletihan atau sibuk dengan tanggungjawab kerja serta keluarga.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Muslim Pro, Nafees Khundker berkata, Ramadan Re:Charge berfungsi sebagai teman setia yang menyokong pelbagai corak penghayatan iman tanpa menetapkan rutin yang terlalu ketat atau memberikan tekanan kepada pengguna.
“Kami tidak mempersoalkan niat pengguna, tetapi kami faham mengekalkan niat itu sepanjang bulan sangat mencabar.
“Matlamat kami adalah menyediakan alat dan kandungan yang membantu mereka kekal terhubung dengan agama mengikut kadar kemampuan masing-masing,” katanya.
Sebagai tanda komitmen terhadap pasaran Malaysia, Nafees berkata, negara ini bakal menjadi lokasi pertama bagi pelancaran beberapa ciri baharu, termasuklah perkhidmatan berkaitan kewangan Islam digital.
“Kami melihat keperluan besar dalam sokongan kewangan Islam, terutamanya untuk generasi muda yang mungkin belum memahami sepenuhnya kelebihan sistem tersebut berbanding perbankan konvensional,” katanya.
Selain tumpuan kepada aspek rohani, Muslim Pro kini memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk meningkatkan ciri keselamatan komuniti melalui fungsi penapisan (moderation) kandungan dalam aplikasi.
Malah, aplikasi itu turut melancarkan siri mikro (micro-series) pertama buatan Malaysia bertajuk Light in Transit yang menampilkan pelakon tempatan untuk tontonan di platform Qalbox sepanjang Ramadan ini.
Sementara itu, Pengurus Perhubungan Awam Bitsmedia, Siti Zaidah, berkongsi strategi memudahkan pengguna menyelesaikan bacaan Al-Quran (Khatam) dalam tempoh 30 hari.
Katanya, data menunjukkan pengguna hanya perlu memperuntukkan masa sekitar 60 minit sehari untuk membaca Al-Quran bagi mencapai sasaran tersebut.
“Bagi ramai orang, 60 minit itu nampak sukar. Namun, jika ia dipecahkan kepada 12 minit selepas setiap waktu solat fardu, tugasan itu menjadi jauh lebih ringan dan mampu dilaksanakan,” katanya yang menyasarkan penglibatan komuniti global dalam cabaran tersebut.
Sebagai tambahan kepada aktiviti komuniti, aplikasi itu turut menganjurkan pertandingan foto global menerusi ruang sosial ‘Ummah’, di mana 10 pemenang bertuah bakal memenangi hadiah berupa Badal Umrah untuk dihadiahkan kepada orang tersayang. – Muslimah