Menjelang Ramadan, ramai wanita bukan sahaja sibuk menyiapkan diri daripada segi rohani, malah turut memikirkan hutang puasa yang masih tertangguh.
Bagi sesetengah wanita, masalah sebenar bukan sekadar menggantikan puasa, tetapi lupa jumlah hari yang ditinggalkan terutamanya apabila hutang puasa sudah tertangguh bertahun-tahun.
Kekeliruan ini lazimnya banyak berlaku dalam kalangan wanita yang tidak dapat berpuasa kerana haid, hamil atau menyusu. Apabila tiba masa untuk menggantikan, mereka sering bimbang kerana tidak ingat jumlah sebenar hari yang tertunggak.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Harapan hati Malaysia, Ustazah Dr. Nur Fatin Halil, Islam menyediakan penyelesaian bagi yang terlupa kiraan puasa tertunggak, asalkan dilakukan secara jujur dan berpandukan anggaran yang munasabah.
“Anggaran itu perlu mengambil kira jumlah yang paling hampir dengan realiti sebenar, bukan dibuat sambil lewa,” katanya.
Contohnya, jika seseorang menganggarkan tujuh hingga 10 hari puasa tertinggal setiap tahun dan keadaan itu berlarutan selama 10 tahun tanpa sebarang qada, maka hutang puasa dianggarkan sekitar 100 hari (10 hari darab 10 tahun) dan puasa tersebut perlu diganti secara berperingkat mengikut kemampuan.
Dalam situasi sedemikian, puasa tertunggak tetap wajib diganti. Fidyah pula perlu dibayar sekiranya seseorang melambatkan qada sehingga Ramadan berikutnya, tertakluk kepada ketetapan negeri masing-masing.
Bagi memudahkan pengiraan, fidyah boleh dikira menggunakan Kalkulator Fidyah yang disediakan oleh laman Jabatan Agama atau Pejabat Zakat.
“Jika puasa tertunggak bertahun-tahun, fidyah boleh digandakan mengikut garis panduan negeri, bergantung kepada kemampuan individu,”katanya.
Beliau menasihatkan agar wanita tidak menangguhkan hutang puasa.
Sebaiknya, puasa ganti dilakukan seawal bulan Syawal selepas Ramadan.
Walaupun terdapat pandangan ulama yang membenarkan penggabungan puasa qada dan puasa sunat Syawal, menyelesaikan puasa qada terlebih dahulu lebih utama.
“
Semakin cepat hutang puasa diselesaikan, semakin lega seseorang daripada tanggungan tersebut,” katanya.