Kerap main telefon penyebab dagu berlapis

Tabiat menundukkan kepala ketika melihat telefon pintar atau komputer menjadi antara faktor penyumbang kepada dagu berlapis.

Dagu berlapis (double chin) sering dikaitkan dengan berat badan berlebihan. Hakikatnya, keadaan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk individu yang mempunyai berat badan normal.

Berdasarkan panduan kesihatan umum oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dagu berlapis berlaku apabila terdapat pengumpulan lemak di bahagian bawah dagu, kulit yang kehilangan keanjalan serta faktor struktur otot dan postur badan.

Dalam kebanyakan kes, ia berpunca daripada gabungan beberapa tabiat harian yang sering dipandang ringan.

Tekanan berulang pada otot leher

Dalam era digital kini, ramai habiskan masa berjam-jam sehari menatap skrin. Kedudukan kepala yang sentiasa tertunduk atau tertolak ke depan memberi tekanan berulang kepada otot leher dan kawasan bawah dagu.

Apabila posisi ini berlaku secara konsisten dalam tempoh yang panjang, kulit dan tisu di bahagian tersebut berada dalam keadaan terlipat berterusan.

Lama-kelamaan, ia boleh menyumbang kepada pengenduran kulit serta pembentukan lipatan yang lebih jelas di bawah dagu.

Postur yang tidak betul juga menyebabkan otot leher menjadi lemah, sekali gus mengurangkan sokongan semula jadi kepada struktur kulit di kawasan rahang.

Faktor lain yang turut menyumbang

Selain postur, beberapa faktor gaya hidup lain turut mempengaruhi keadaan ini. Pengambilan makanan tinggi garam dan tidur yang tidak mencukupi boleh menyebabkan air kekal dalam badan sehingga wajah kelihatan sembap, termasuk di bahagian bawah dagu.

Kurang minum air juga boleh mengganggu keseimbangan cecair badan.

Tabiat merokok atau menggunakan vape pula mempercepatkan kerosakan kolagen, iaitu protein penting yang mengekalkan keanjalan kulit. 

Apabila kolagen berkurangan, kulit lebih mudah kendur.

Di samping itu, pengambilan makanan manis secara kerap, makan lewat malam dan gaya hidup kurang aktif boleh menyumbang kepada peningkatan lemak badan secara perlahan tanpa disedari.

Tips kurangkan dagu berlapis

Bagi mengurangkan risiko dagu berlapis menjadi lebih ketara, pembetulan postur merupakan langkah paling asas tetapi penting. 

Telefon pintar disarankan diangkat ke paras mata dan posisi duduk perlu tegak bagi mengelakkan kepala tertolak ke hadapan.

Senaman ringkas seperti chin tuck boleh diamalkan secara konsisten untuk membantu menguatkan otot leher.

Selain itu, amalkan pemakanan seimbang, kurangkan makanan masin terutama pada waktu malam, cukupkan pengambilan air harian serta dapatkan tidur yang berkualiti.

Secara keseluruhannya, dagu berlapis bukanlah masalah kesihatan yang serius. 

Namun, ia boleh menjadi petunjuk tabiat harian, khususnya penggunaan gajet secara berpanjangan perlu diberi perhatian.-Muslimah