Kenapa mahu buka tudung?

Ramai wanita yang kali pertama mengenakan tudung berasa yakin dan tenang. Langkah itu seperti satu permulaan baharu yang mendekatkan seseorang dengan Allah.

Ia juga memenuhi tuntutan Islam yang diwajibkan ke atas semua muslimah. 

Namun, tidak semua yang indah itu kekal tanpa ujian. 

Selepas penghijrahan yang membabitkan pengorbanan besar, perjalanan iman seseorang tidak sentiasa mudah.

Ada waktunya hati rasa goyah. Ingatan masa dulu dan kebebasan berpakaian yang popular tanpa memikirkan aurat mula terdetik di benak hati. Perasaan ingin membuka tudung muncul tanpa diduga, disertai konflik dalaman yang sukar diluahkan.

Pendakwah bebas, Ustazah Azilah Shamsudian berkata, menutup aurat bukan sekadar perubahan luaran.

“Ia melibatkan perubahan hati, jiwa dan keseluruhan cara hidup. Sebab itu ujian istiqamah sering datang selepas seseorang berhijrah,” katanya.

Masyarakat juga, katanya tidak harus mudah menghukum kepada wanita Islam yang tiba-tiba berubah dan membuka tudung.

“Wanita yang sedang bergelut tidak sepatutnya dipandang serong. Konflik dalaman ini adalah sebahagian daripada perjalanan iman, bukan tanda kegagalan,” katanya kepada Muslimah.

Bagi wanita yang sebelum ini tidak menutup aurat, hijrah bukan sekadar menukar cara berpakaian. 

Ia melibatkan perubahan imej diri, gaya hidup serta cara pandang masyarakat sekeliling.

“Menutup aurat adalah ujian ketaatan. Allah menguji sejauh mana seorang wanita benar-benar bergantung kepadaNya,” katanya.

Tambahnya, merujuk Surah Al-Furqan ayat 20, manusia dijadikan sebagai ujian antara satu sama lain untuk melihat siapa yang mampu bersabar. 

Proses ini menilai keikhlasan dan kebergantungan kepada Allah, bukan kepada manusia.

Iman pula tidak bersifat statik. Ia boleh bertambah dan berkurang. 

Ketika iman kuat, istiqamah terasa ringan. Namun apabila iman melemah, kata-kata manusia termasuk daripada orang terdekat boleh menggugat semangat.

AZILAH SHAMSUDIAN

HAWA NAFSU DAN BISIKAN SYAITAN 

Antara cabaran terbesar dalam istiqamah ialah hawa nafsu dan bisikan syaitan. 

Hawa nafsu mendorong keinginan untuk kelihatan cantik, bergaya dan diterima manakala bisikan syaitan hadir melalui ketakutan.

Takut dipulaukan, dilabel kolot atau tidak relevan dengan zaman.

“Tekanan budaya dan persekitaran sosial menjadikan Muslimah sering berada dalam dilema antara prinsip dan penerimaan,” jelasnya.

BAGAIMANA ISTIQAMAH?

Perjalanan hijrah yang diiringi sokongan spiritual dan emosi daripada keluarga dan sahabat mampu menguatkan langkah.

Namun, lebih penting daripada itu ialah kebergantungan sepenuhnya kepada Allah. 

Konsep ar-raja’ (harapan) perlu sentiasa dipupuk kerana hanya Allah Al-Qawiy yang mampu memberi kekuatan sebenar untuk terus melangkah.

Selain itu, kata Azilah, individu akan lebih mudah istiqamah sekiranya niat untuk berhijrah datang daripada diri sendiri dan bukan paksaan pihak lain.

“Apabila seseorang mula hidup berdikari, hijrah yang tidak berakar pada kefahaman agama mudah goyah,” jelasnya.

Individu juga perlu memahami amalan-amalan yang dilakukan selepas hijrah supaya setiap yang dilakukan bukan hanya sekadar ikut-ikutan.

HIJRAH ADALAH PERJALANAN HATI

Menutup aurat bukan destinasi, tetapi perjalanan. 

Ujian terbesar dalam hijrah ialah keikhlasan iaitu sama ada perubahan dilakukan kerana Allah atau manusia.

“Allah tidak menilai siapa yang paling cepat atau paling sempurna, tetapi siapa yang terus kembali walaupun jatuh berkali-kali. Selagi masih hidup, selagi itulah pintu perubahan sentiasa terbuka,” katanya.

Hijrah mungkin tidak sempurna, namun setiap usaha untuk kembali kepada Allah tetap bernilai. – Muslimah