Kekal cergas, minda tajam walau sedang berpuasa

Kedatangan bulan Ramadan sering dianggap sebagai fasa rehat daripada aktiviti fizikal bagi segelintir individu. 

Namun, bagi wanita bergelar ibu bekerja dan pelajar yang memikul beban akademik, kelesuan bukanlah satu pilihan. 

Tugasan di pejabat perlu diselesaikan manakala kuliah dan ulangkaji menuntut fokus yang tinggi.

Rahsia kekal bertenaga sepanjang hari bukanlah terletak pada kuantiti makanan ketika bersahur semata-mata sebaliknya pada keseimbangan antara gerak kerja fizikal yang bijak dan pengurusan nutrisi yang tepat.

Senaman ringan booster tenaga

Bagi mengekalkan kecergasan tanpa mengerah peluh secara berlebihan, fokuskan kepada senaman impak rendah.

Waktu terbaik: 30 minit sebelum berbuka atau dua jam selepas solat Terawih.

Regangan dinamik: Lakukan pusingan leher, bahu dan pinggang secara perlahan. Ini membantu melancarkan aliran darah yang sering ‘beku’ akibat duduk terlalu lama di meja pejabat atau dewan kuliah.

Berjalan santai (brisk walking): Cukup sekadar 15 hingga 20 minit di kawasan sekitar rumah. Ia membantu meningkatkan kadar oksigen dalam badan tanpa menyebabkan dehidrasi melampau.

Yoga atau Pilates ringan: Fokus kepada pernafasan dan postur. Bagi pelajar, ini adalah terapi terbaik untuk mengurangkan tekanan peperiksaan.

Tip ‘super’ tenaga untuk ibu bekerja dan pelajar

Memandangkan waktu makan yang terhad, setiap suapan harus mempunyai fungsi. Berikut adalah strategi untuk memastikan bateri badan tidak ‘kong’ sebelum waktu berbuka:

Menu sahur ideal

Utamakan karbohidrat kompleks. Ambil oat, nasi perang  atau roti bijirin penuh. Ia dihadam secara perlahan dan memberikan tenaga berpanjangan.

Tips hidrasi

Gunakan teknik 2-4-2 (2 gelas ketika berbuka, 4 gelas sepanjang malam, 2 gelas ketika sahur). Elakkan kafein berlebihan kerana ia bersifat diuretik yang boleh menyebabkan cepat berasa haus.

Power nap

Manfaatkan waktu rehat tengah hari untuk tidur selama 15 hingga 20 minit. Ia mampu memulihkan fokus mental dengan drastik untuk baki waktu bekerja/belajar. 

Elak gula ringkas 

Kurangkan air manis berwarna ketika berbuka. Lonjakan gula yang mendadak akan menyebabkan anda cepat mengantuk dan lesu sejam kemudian. 

Ramadan bukan alasan untuk berhenti bergerak. Tubuh yang aktif akan menghantar isyarat kepada otak untuk kekal waspada dan cerdas, sekali gus meningkatkan kualiti ibadah dan kerja seharian.

Bagi para ibu, pastikan mendapat bantuan pasangan dalam urusan rumah tangga agar tenaga tidak habis di dapur sahaja. 

Bagi pelajar pula, susun jadual ulangkaji pada waktu pagi selepas Subuh kerana ketika itulah tahap kognitif berada pada tahap optimum.-Muslimah